SKMM rakam percakapan warga emas hina Nabi

SHAH ALAM - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah merakam percakapan seorang individu yang telah memuat naik komen bersifat jelik melampau menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam di laman sosial Facebook yang dipercayai miliknya.
SKMM dalam kenyataannya pada Khamis berkata, rakaman percakapan ke atas lelaki tempatan berusia 63 tahun itu dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri, Johor pada 20 April lalu.
"Sebuah telefon bimbit berserta kad sim yang digunakan suspek untuk memuat naik komen telah disita bagi tujuan analisis forensik.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan jika sabit kesalahan, individu berkenaan boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.
Ujar kenyataan itu lagi, kertas siasatan tersebut akan ditaklimatkan kepada Timbalan Pendakwa Raya di Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat bagi mendapatkan keputusan.
"SKMM tidak akan berkompromi dan bertolak-ansur dengan mana-mana pihak yang menyalahgunakan platform media sosial khususnya menyentuh isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja).
"Perbuatan tersebut berpotensi mengakibatkan ketegangan antara agama dan mengganggu keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
"Orang ramai turut diingatkan untuk menggunakan media sosial secara beretika dan bertanggungjawab. Sebarang aduan berkaitan boleh dikemukakan melalui saluran rasmi SKMM di https://aduan.mcmc.gov.my," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
