Satu ekar tanaman musang king boleh jana RM60,000 semusim

Zain memaklumkan satu ekar tanah boleh ditanam 35 pokok durian dengan jarak 10 meter antara satu sama lain bagi memastikan pencahayaan dan ruang tumbesaran yang optimum.
Zain memaklumkan satu ekar tanah boleh ditanam 35 pokok durian dengan jarak 10 meter antara satu sama lain bagi memastikan pencahayaan dan ruang tumbesaran yang optimum.
A
A
A

SEREMBAN -Tanaman durian musang king terbukti mampu memberikan pulangan lumayan apabila setiap ekar tanah yang ditanam dengan raja buah itu boleh menjana pendapatan melebihi RM60,000 semusim.

Pengerusi Persatuan Penanam Durian Negeri Sembilan, Datuk Zain Maarof berkata, satu ekar tanah (0.4 hektar) boleh menampung 35 pokok durian dengan jarak 10 meter antara satu sama lain bagi memastikan pencahayaan dan ruang tumbesaran yang optimum.

"Secara purata, setiap pokok yang berusia enam tahun mampu mengeluarkan 20 hingga 30 biji buah dengan anggaran berat dua kilogram (kg) sebiji.

"Harga ladang bagi satu kilogram musang king sekitar RM30 hingga RM35 dan hasil keseluruhan bagi satu ekar tanah yang ditanam musang king mencecah RM63,000 semusim," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kampung Rawa, Lenggeng di sini pada Rabu.

Zain menunjukkan antara anak pokok durian di kebunnya di Kampung Rawa, Lenggeng.
Zain menunjukkan antara anak pokok durian di kebunnya di Kampung Rawa, Lenggeng.

Tambah beliau, hasil pendapatan meningkat apabila pokok mencecah usia 10 tahun yang mampu mengeluarkan sehingga 100 biji buah semusim.

"Bayangkan kalau setahun, ada dua kali musim durian, berapa banyak pendapatan yang boleh diperoleh pengusaha kebun durian ini?

"Lagi pun durian kita ini memang dah ada pasaran luar kerana dikatakan paling sedap di dunia. Jadi tak hairan ia mempunyai nilai eksport yang tinggi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, Malaysia memiliki lebih 200 spesies durian, namun antara yang bernilai tinggi termasuk tupai king yang dijual pada harga RM120 sekilogram, dan black thorn (duri hitam) yang mencecah RM80 sekilogram.

Selain itu kata Zain, anak pokok raja buah berkenaan turut bernilai tinggi apabila boleh dijual pada harga antara RM30 ke RM50 sepokok.

Anak pokok durian boleh dijual pada harga antara RM30 hingga RM50 sepokok.
Anak pokok durian boleh dijual pada harga antara RM30 hingga RM50 sepokok.

"Sebut saja durian, ia boleh memberi pulangan yang tinggi. Jadi kita perlu rebut peluang ini dan saya sarankan kepada orang ramai yang mempunyai tanah, tanamlah durian yang kategori T20 ini kerana ia memang ada permintaan tinggi," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar kerajaan menubuhkan sebuah institusi atau badan tertentu yang boleh memantau dan memajukan industri durian, seperti yang dilaksanakan terhadap tanaman getah dan sawit.

“Durian bukan sahaja mempunyai potensi ekonomi tinggi kepada pekebun, malah boleh menjadi penyumbang besar kepada pendapatan negara,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!