'Perceraian jalan terbaik buat ibu, ayah '- Anak Edika Yusof

[DIKEMAS KINI] ANAK sulung hasil perkahwinan Nor Hidayah dan Edika Yusof iaitu Fardeen Nasrulhaq, 21, berpendapat perceraian adalah jalan terbaik buat ibu dan ayahnya.
Ujar Fardeen yang hadir menemani ibunya di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada Rabu, dia melihat keputusan itu akan mengurangkan tekanan buat kedua-duanya.
“Selagi saya masih hidup saya boleh jaga dia (ibu). Tiada apa yang boleh saya cakap tapi saya rasa jalan ini yang terbaik buat ibu dan ayah saya.
“Kedua-duanya akan kurang tekanan dan saya pun sudah biasa dari kecil buat benda ini (jaga ibu) jadi untuk saya tiada beza,” ujarnya ringkas.

Pagi tadi, Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan menetapkan 5 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi permohonan cerai yang difailkan Nor Hidayah.
Peguam syarie mewakili Nor Hidayah, Mohd Yazid Hazim dari Tetuan Yazid Azuhan Associates berkata pihak mahkamah juga membenarkan pihak Edika untuk melafazkan cerai pada tarikh tersebut.
Menerusi hasil perkongsian hidup dua dekad pasangan ini sejak 2003, Edika dan Nor Hidayah bahagia dengan dua anak iaitu Fardeen Nasrulhaq dan Fereena Nurulhaq.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!