'Saya jaga dia hampir 19 tahun ketika sakit, kenapa sekarang?' - Edika Yusof

[DIKEMAS KINI] AKTOR popular era 1990-an, Edika Yusof mengakui terkejut dengan keputusan isterinya, Nor Hidayah Yusri, 47, untuk berpisah selepas 22 tahun mendirikan rumah tangga.
Malah Edika, 58, masih berharap dapat menyelamatkan perkahwinannya, tetapi akur jika perpisahan itu lebih membuatkan isterinya bahagia.
"Saya dah kahwin lebih 22 tahun. Saya jaga dia hampir 19 tahun ketika sakit. Semua perkara boleh bincang, boleh selesai, saya kalau boleh nak selamatkan (perkahwinan), tetapi jika itu yang dia hendak, asalkan dia gembira, saya akan cuba memenuhinya.
"Kerana soal jodoh, hidup dan mati di tangan ALLAH. Kita berusaha sejauh manapun namun jika ia hanya sampai di situ saya akan reda," katanya ketika ditemui Sinarplus pada Ahad.

Bintang yang mula meledak menerusi filem Maria Mariana itu mengakui sudah lebih tiga bulan tidak tinggal sebumbung.
Edika juga tidak menyangka, hasratnya membenarkan Hidayah berpindah keluar dari rumah bagi menenangkan diri bertukar menjadi keadaan yang lebih tegang.
"Kalau betul dia nak dilepaskan, patutnya dari dulu lagi dia beritahu. Apabila pada waktu ini baru nak ‘offer’ untuk lepaskan saya, saya rasa dah terlambat.
"Saya tidak fikir sangat. Saya pun tidak pernah berpisah. Selama ini apa yang saya buat adalah rutin dan tidak pernah mengeluh.
"Saya tidak suka tunjuk apa yang saya buat kepada isteri. Malah saya juga minta agar dia tidak memuat naik di laman sosial apa yang kami lakukan. Biar hanya kita sahaja yang tahu.
"Kalau dia rasa dia gembira dengan keputusannya untuk melepaskan saya, saya tidak mampu buat apa-apa. Saya telah cuba menyelamatkan. Selagi ia boleh membuatkan dia bahagia dan gembira, saya akur," ujarnya tenang.
Penerimaan anak
Ditanya penerimaan anak-anak berkenaan kemelut rumah tangganya, Edika berkata, kedua-dua anaknya iaitu Fardeen Nasrulhaq, 21, dan Fereena Nurulhaq, 20, dilihat tiada usaha untuk merapatkan kembali hubungan dengan isteri.
Bagaimanapun anak tirinya, Nazirul Afiq, 27, yang kini tinggal bersama Hidayah berharap mereka tidak akan berpisah.
"Anak tiri saya nampak apa yang berlaku antara kami dan tidak mahu kami begini (berpisah). Tetapi anak saya pula, selagi saya dan isteri tiada masalah dan gembira mereka okay.
"Tiada pula usaha mereka cuba merapatkan kami. Saya tunggu juga anak-anak buat sesuatu tetapi saya tidak nampak apa-apa setakat ini. Isteri pula, saya sudah ajak dan hantar pesanan WhatsApp untuk berbincang tetapi dia mengelak.
"Semasa dia ingin berpindah tempoh hari, kami tidak bergaduh. Malah saya bantu lagi kerana saya ingat apabila masing-masing muhasabah diri dan berbincang, namun setakat ini tiada apa-apa," kata Edika.
Jauh di sudut hati, walau apa pun yang terjadi pada masa akan datang, Edika berharap hubungannya dengan Nor Hidayah baik-baik dan terhindar permusuhan.
"Jika saya ada salah dan silap saya minta maaf. Selalunya jika saya buat silap saya akan minta maaf kepadanya.
"Kalau kita berjumpa dan berbincang, kita boleh berkawan. Kenapa kita perlu bermusuh? Itu yang saya mintalah," tuturnya.
Sekadar info, Nor Hidayah terdahulu memfailkan perceraian terhadap Edika pada akhir Mac lalu Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada tahun 2003 dan dikurniakan sepasang cahaya mata. Manakala Hidayah memiliki seorang anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!