Jentera robotik, mesin pembunuh Zionis

TEL AVIV - Jika dilihat sekali imbas, tidak ada apa yang luar biasa pada jentolak besar ini yang diuji di sebuah tapak di tengah Israel.
Namun jika ditatap dengan lebih dekat, ia adalah jengkaut tanpa pemandu.
Ia adalah kenderaan pemusnah digelar Robdozer yang boleh dikendalikan secara jarak jauh.
Jurutera dan pakar tentera menyifatkan Robdozer, versi robotik jengkaut Caterpillar D9 kononnya sebagai alat pertempuran automatik pada masa depan.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) telah menggunakan D9 di barisan hadapan termasuk meratakan jalan untuk kemaraan anggota mereka selama bertahun-tahun.
Tetapi, sejak perang genosid tercetus di Genting Gaza pada 7 Oktober 2023 dan disusuli konflik di Lubnan, Zionis meningkatkan penggunaan versi robotik atas alasan bagi meningkatkan operasi lapangan dan mengurangkan risiko kepada askar mereka.
“Idea asal rekaan ini adalah untuk menjadikan ia boleh dikendalikan tanpa pemandu. Ketika kempen pencerobohan di Gaza, IDF memilih jengkaut tanpa pemandu yang boleh melakukan lebih banyak tugas berbanding manusia,” kata Rani yang merupakan jurucakap Industri Aeroangkasa Israel yang membangunkan Robdozer.
Menurutnya, kenderaan dan sistem lain masih dikendalikan manusia, namun versi pada masa akan datang dijangkakan dalam fungsi autonomi untuk melengkapkan 'mesin pembunuh' IDF.
Risiko perang lebih ganas
Hal itu telah mencetuskan kebimbangan terhadap peperangan pada masa depan yang mungkin lebih ganas di Gaza.
Israel semakin menggunakan peralatan canggih di medan tempur termasuk sistem pertahanan udara dan sistem risikan yang dipacu teknologi kecerdasan buatan (AI) yang berpotensi melanggar undang-undang antarabangsa.

Penganalisis berpendapat penggunaan Robdozer kononnya mencerminkan trend global ke arah kenderaan berat tempur automatik seperti dron yang boleh dikawal pada jarak jauh.
Seorang askar Zionis mendedahkan, IDF sudah pun menggunakan alatan robotik selama lebih sedekad, namun dalam jumlah yang kecil.
“Kini, ia digunakan dalam peperangan berskala besar. Tentera boleh mengendalikan jentera berat tanpa perlu menyusup masuk ke zon tempur,” katanya.
Tentera bersara Britain dan felo penyelidik di Henry Jackson Society, Andrew Fox berkata, IDF mungkin menjadi pasukan tentera pertama menggunakan jentera tempur kawalan jauh di zon perang.
“Ia mengubah paradigma peperangan kerana dapat mengurangkan risiko kematian atau kecederaan kepada askar Zionis,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Kajian Peperangan Bandar di Institut Perang Moden di West Point, John Spencer berpendapat ia sebagai strategi yang unik untuk pertempuran pada masa depan.
Tetapi, ramai pakar percaya teknologi canggih seumpama itu tetap mempunyai kelemahan dan semestinya akan menyebabkan lebih banyak nyawa tidak berdosa terkorban di 'tangan robot'. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!