Perak aktifkan semula MTEN tangani situasi ekonomi global

IPOH – Kerajaan negeri mengaktifkan semula Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (MTEN) Perak sebagai langkah strategik bagi menangani ketidaktentuan ekonomi global yang memberi kesan kepada ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, MTEN Perak akan berfungsi sebagai platform konsultasi melibatkan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pihak berkepentingan lain dalam merangka dasar dan strategi ekonomi negeri yang lebih inklusif.
“Kerajaan negeri sentiasa peka dan prihatin terhadap kegusaran rakyat berhubung ketidaktentuan perubahan dalam landskap ekonomi global yang sudah pasti memberi kesan secara langsung mahupun tidak langsung kepada ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat.
“Sejajar dengan komitmen untuk memastikan kelangsungan dan kestabilan ekonomi negeri, kerajaan negeri telah mengambil langkah strategik dengan mengaktifkan semula MTEN Perak,” katanya ketika sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini, pada Selasa.
Mengulas lanjut, Saarani berkata, antara skop perbincangan MTEN Perak termasuk memantau perkembangan ekonomi di peringkat nasional dan global, menilai keberkesanan dasar ekonomi negeri serta mencadangkan penyesuaian dasar berdasarkan data yang dikumpul.
Katanya, platform tersebut turut menyediakan ruang rundingan bersama sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO), masyarakat sivil dan pihak berkepentingan lain dalam usaha menggubal dasar ekonomi negeri yang berpaksikan kesejahteraan rakyat.
Jelas beliau, hasil perbincangan di MTEN Perak akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) untuk dipertimbangkan dan diputuskan sebelum dilaksanakan.
Sementara itu, Saarani memaklumkan kerajaan negeri juga akan melaksanakan Kajian Separuh Penggal Pelan Perak Sejahtera 2030 bagi menilai keberkesanan pelaksanaan strategi dalam tempoh tiga tahun pertama pelan tersebut.
Jelasnya, kajian itu juga bertujuan menambah baik dan menjajarkan semula pelaksanaan pelan berkenaan agar kekal relevan dan mampan sepanjang tempoh baki lima tahun pelaksanaan.
“Kerajaan negeri secara berterusan melipatgandakan usaha memacu kesejahteraan ekonomi dengan langkah diversifikasi pelbagai model ekonomi seperti pemerkasaan ekonomi biru, ekonomi hijau, ekonomi penjagaan dan ekonomi kreatif.
“Kajian ini diharapkan dapat menatijahkan suatu pelan yang dikemas kini dan berdaya tahan bagi mengharungi baki lima tahun pelaksanaan Perak Sejahtera 2030,” katanya.
Mengulas mengenai status semasa pelaksanaan pelan pada kadar 16.4 peratus, Saarani memaklumkan bahawa berdasarkan analisis dapatan State Leadership Retreat 2025 yang diadakan pada 13 Februari 2025, tempoh pelaksanaan projek-projek yang disenaraikan di bawah inisiatif Sejahtera Ekonomi adalah antara empat hingga lima tahun untuk disiapkan.
Justeru, prestasi pencapaian 16.4 peratus yang direkodkan merupakan satu pencapaian yang munasabah, mengambil kira bahawa pelaksanaannya kini berada di penghujung tahun kedua pelan pembangunan tersebut.
Dalam pada itu, Saarani berkata, kerajaan negeri komited mempertingkatkan visualisasi Dashboard Perak Sejahtera dengan mengintegrasi elemen Global Information System (GIS) bagi membantu proses pembuatan keputusan dalam perancangan projek Perak Sejahtera 2030.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


