Gesa tindakan tegas pihak jual patin klon

Patin Temerloh yang terkenal di seluruh negara kerana keenakan rasanya dengan hidangan khususnya gulai patin masak tempoyak. Gambar kecil: Abdullah
Patin Temerloh yang terkenal di seluruh negara kerana keenakan rasanya dengan hidangan khususnya gulai patin masak tempoyak. Gambar kecil: Abdullah
A
A
A

TEMERLOH - Persatuan Pengusaha Pelancongan Daerah Temerloh mahu tindakan tegas dikenakan terhadap segelintir individu yang menjual patin klon.

Pengerusinya, Abdullah Ahmad berkata, tindakan penguatkuasaan paling tegas termasuk menyenarai hitam mereka yang terlibat perlu dilakukan demi menjaga nama baik Temerloh yang terkenal dengan gelaran bandar ikan patin.

Malah beliau berkata, ia juga untuk menjaga kualiti ikan tersebut di pasaran.

“Tindakan mereka ini akan menjejaskan semua kerana ia akan merosakkan imej pelancongan bukan hanya industri patin sahaja.

“Persatuan berharap penguat kuasa mengenalpasti mereka yang terlibat dan terus menyenarai hitam dengan kaedah sesuai.

“Akibat tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab ini akhirnya menyebabkan ramai orang terjejas,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Kualiti ikan patinTemerloh perlu dijaga untuk menjaga nama baik dan industri ikan tersebut.
Kualiti ikan patinTemerloh perlu dijaga untuk menjaga nama baik dan industri ikan tersebut.

Kenyataan itu susulan titah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan kebimbangan susulan dakwaan terdapat segelintir pengusaha yang membawa masuk ikan patin dari luar termasuk patin kolam untuk dijual di Temerloh yang dikhuatiri boleh menjejaskan reputasi daerah ini sebagai pusat utama hidangan patin tulen.

Baginda bertitah sedemikian selepas berkenan bercemar duli berangkat bersama Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Alam Shah di Karnival Patin dan Sukan Rakyat di Dataran Temerloh sempena Kembara Pahang 1.0 di daerah ini pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Titah Baginda lagi, usaha pensijilan kepada pengusaha ikan patin sangkar di Temerloh bagi mengatasi isu klon spesies tersebut dari luar daerah dialu-alukan untuk memastikan keaslian ikan yang dijual kepada penggemarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!