Kedah kenal pasti jenis benih padi untuk dibangunkan

Dzowahir
Dzowahir
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri telah mengenal pasti beberapa jenis benih padi yang berpotensi dibangunkan dan mempunyai beberapa kelebihan berbanding benih padi sedia ada.

Exco Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan negeri, Dzowahir Ab Ghani berkata, hasil lawatan kerja ke Pusat Kajian Organik Terpadu (PKPOT) di Malang, Indonesia baru-baru ini, dua jenis benih dipilih untuk dilakukan kajian lanjut iaitu HMS700 dan HMS70D.

Menurutnya, penilaian sedang dilakukan dalam pelbagai aspek bagi melihat kesesuaian jenis benih padi tersebut untuk ditanam di negeri ini.

“Pengeluaran benih padi yang sedang dirancang kerajaan negeri masih di peringkat pemilihan jenis benih padi yang bersesuaian. Pengeluaran benih padi baharu perlu diperkenalkan segera untuk kita maksimumkan pengeluaran hasil padi dalam negeri,” katanya ketika menjawab soalan lisan Muhamad Amri Wahab (Bersatu-Derga) mengenai perkembangan pengeluaran benih padi yang dirancang Kedah, dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Selasa.

Dzowahir berkata, kerjasama bersama Agensi Nuklear Kebangsaan dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) masih di peringkat kajian untuk mengembangkan benih padi sedia ada kepada beberapa jenis baharu.

“Kajian dilakukan di tapak benih padi seluas 20.5 hektar di Kampung Sungai Mati, Tobiar, Pendang. Kawasan tersebut dikelola syarikat persendirian yang bekerjasama untuk menjadikan kawasan tersebut sebagai tempat lahirnya benih padi pertama di Kedah,” katanya.

Menurutnya, syarikat subsidiari Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd (MNFSB) turut membantu dalam penyaluran input tambahan pembaikan struktur tanah agar benih padi yang ditanam sesuai dan bermutu.

“Usaha lain termasuk usahasama bersama penduduk tempatan mengerjakan tanah-tanah terbiar di Tualang, Pokok Sena seluas 28.3 hektar, Kubang Sepat Megat Dewa (288 hektar) dan Langkawi (28 hektar),” ujarnya.

Dzowahir memaklumkan, perbincangan bersama pengkaji benih padi tidak terhad dalam negara sahaja, sebaliknya China Agriculture Technology Institute dari Chongqing, China turut menawarkan usahasama untuk membawa masuk jenis benih padi hibrid.

Artikel Berkaitan:

“Benih padi ini dapat meningkatkan hasil padi sehingga 19 tan per hektar. Banyak negara-negara pengeluar beras telah menggunakan jenis benih padi hibrid ini dan terbukti dapat meningkatkan hasil padi seperti India, Vietnam, Thailand dan Myanmar,” ujarnya.

Menurutnya, agensi Nuklear mempunyai satu-satunya benih padi sah yang diperakui Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) iaitu varieti NMR 152 atau IS21 yang memberi hasil tinggi bergantung kepada cara penjagaan dan klasifikasi tanah.

“Di kawasan Megat Dewa, Kodiang, pesawah menggunakan benih padi NMR152 mendapat hasil antara lapan hingga 10 tan per hektar. Benih padi ini juga mempunyai tahap kerintangan tinggi terhadap penyakit dan perosak seperti karah, hawar daun, bena perang dan hawar seludang.

“Agensi Nuklear telah melaksanakan ujian Advance Line Mutant terhadap benih padi selama tiga tahun di tapak kajian mereka, sebanyak enam kali pemilihan uji kaji benih, bukan sekadar kajian asas,” katanya.

Dzowahir berkata, benih tersebut telah memasuki fasa-fasa pemilihan jalur benih terbaik dan akan ditanam di Tapak Pusat Benih Padi, Tobiar untuk melihat kesesuaian benih tersebut dengan struktur tanah dan pengairan.

“Agensi Nuklear juga menguji kaji benih padi tanam, tinggal dan tuai, untuk kawasan yang mengalami masalah tanah tidak subur, tanah jerlus dan kawasan kekurangan air. Hasil diperoleh meningkat sebanyak satu tan berbanding musim sebelumnya,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!