Warga emas maut kemalangan dua kenderaan

SABAK BERNAM - Seorang lelaki warga emas maut dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan sebuah kereta di Kilometer 74 Jalan Teluk Intan-Klang di sini pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.20 tengah hari itu, mangsa berusia 77 tahun yang menunggang motosikal Yamaha Lagenda dipercayai bergerak secara melawan arus di bahu jalan sebelum hilang kawalan.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Md Yusof Ahmad berkata, mangsa kemudiannya memasuki lorong kanan lalu bertembung dengan sebuah kereta jenis Suzuki Swift yang datang dari arah bertentangan.
“Akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
Orang awam yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Shaifuddin Mohd Nor di talian 017-6645812.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

