Pemilihan PKR umpama tsunami politik buat parti

JOHOR BAHRU - Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kali ini disifatkan sebagai isyarat awal kepada angin perubahan besar dalam parti, khususnya di Johor, apabila ramai muka baharu berjaya mengetepikan nama besar dalam barisan kepimpinan.
Ketua Cabang PKR Pasir Gudang, Murad Jailani berkata, situasi yang berlaku jelas mencerminkan kebangkitan ahli akar umbi yang mahukan kebebasan bersuara dan menolak budaya monopoli kepimpinan oleh kelompok tertentu.
“Apa yang kita saksikan di Johor boleh dikatakan sebagai satu ‘tsunami politik’. Tiba-tiba satu kem, termasuk seorang timbalan menteri, tewas kepada muka baharu yang sentiasa bersama rakyat.
“Sebelum ini, ramai tokoh korporat yang memonopoli parti. Kini, kami sebagai ahli biasa mengharapkan perubahan,” katanya kepada Sinar Harian.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa faktor utama berlakunya perubahan besar ini adalah layanan berbeza yang diterima ahli akar umbi berbanding pemimpin yang memegang jawatan.
“Apabila sudah memegang jawatan, kami yang bertungkus-lumus pasang bendera, berkempen siang malam untuk menangkan mereka, langsung tidak dipandang. Seolah-olah suara kami dikunci. Sampai kumpulan WhatsApp pun ada yang keluar, seperti tidak mahu dengar suara kami langsung.
“Itulah antara faktor paling ketara di Johor. Orang bawah sudah lama memendam rasa,” ujarnya.
Murad yang juga Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Pasir Gudang turut berharap agar kepimpinan baharu yang bakal menerajui parti dapat memulihkan semula hubungan baik dengan rakyat.
Ditanya mengenai hala tuju parti selepas perubahan besar ini, beliau optimis bahawa PKR Johor akan menjadi lebih stabil dan lebih baik pada masa akan datang.
“Insya-ALLH akan semakin stabil. Yang penting, pemimpin perlu dengar suara orang bawah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

