China hentikan pembelian LNG dari AS, beralih kepada negara jiran

China menghentikan pembelian gas asli cecair (LNG) dari Amerika Syarikat pada Mac, sebaliknya meningkatkan import bahan api itu dari Australia, Indonesia dan Brunei.
China menghentikan pembelian gas asli cecair (LNG) dari Amerika Syarikat pada Mac, sebaliknya meningkatkan import bahan api itu dari Australia, Indonesia dan Brunei.
A
A
A

MOSCOW - China menghentikan pembelian gas asli cecair (LNG) dari Amerika Syarikat pada Mac, sebaliknya meningkatkan import bahan api itu dari Australia, Indonesia dan Brunei, menurut analisis data kastam China dipetik RIA Novosti.

Pada 2024, Amerika Syarikat adalah antara lima pembekal utama LNG ke pasaran China, dengan jumlah eksport sebanyak 4.15 juta tan bernilai AS$2.4 bilion (RM10.5 bilion).

Pada Januari 2025, China membeli 194,200 tan LNG daripada syarikat AS bernilai AS$125.4 juta (RM550 juta), namun jumlah itu merosot kepada 65,800 tan dengan nilai AS$31.4 juta (RM14.9 juta) pada Februari.

Pada Mac, tiada sebarang penghantaran LNG dari Amerika Syarikat ke China direkodkan, menjadikannya gangguan pertama sejak Jun 2022.

Bagaimanapun, China menampung kekurangan itu dengan meningkatkan pembelian daripada negara jiran serantau.

Indonesia mencatatkan peningkatan eksport sebanyak 1.7 kali ganda kepada AS$330.7 juta, manakala Australia meningkatkan bekalan sebanyak 18 peratus kepada AS$778.4 juta.

Di samping itu, China turut menyambung semula import dari Brunei dengan jumlah bernilai AS$51 juta pada Mac.

Pada 2 April lalu, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menandatangani perintah eksekutif yang memperkenalkan tarif "timbal balik” terhadap import dari negara luar, termasuk kadar tertinggi ke atas China.

Langkah itu menyumbang kepada peningkatan ketegangan dalam perang perdagangan antara kedua-dua kuasa ekonomi dunia. - Bernama-Sputnik/Ria Novosti

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!