Lencana Jalur Gemilang benteng awal bendung sentimen 3R

KOTA BHARU - Pemakaian lencana Jalur Gemilang dalam kalangan pelajar sekolah bukan sekadar simbol patriotisme tetapi benteng awal bagi membendung anasir negatif membabitkan isu perkauman, agama dan institusi diraja (3R).
Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Dr Hafidzah Mustakim berkata, pendekatan itu mampu menyatukan generasi muda tanpa mengira latar kaum dan agama selain membina asas perpaduan negara.
“Kita tahu ketika ini masih wujud pihak yang cuba menghidupkan sentimen 3R dengan pelbagai cara.
“Dengan inisiatif seperti pemakaian lencana ini yang melibatkan semua pelajar dan murid di seluruh negara, kita boleh semai keharmonian sejak kecil serta memperkukuh jati diri anak-anak kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Simbolik Pemakaian Lencana Jalur Gemilang peringkat negeri Kelantan di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Garong 1di sini pada Isnin.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Mat Lazim Mohammad.

Dr Hafidzah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama berkata, pelajar juga perlu memahami makna pemakaian simbol negara pada seragam mereka dan menghargainya sebagai satu amanah untuk menjaga nama baik Malaysia.
Katanya, pemakaian lencana juga menunjukkan usaha konsisten kerajaan Madani dalam menzahirkan nilai perpaduan melalui pendekatan sederhana tetapi berkesan.
“Biarpun kecil, lencana ini jika dipakai oleh ratusan ribu murid seluruh negara akan mencipta impak besar dalam penyatuan rakyat.
“Lencana ini bukan sekadar lambang, tapi satu bentuk pendidikan jati diri yang tersusun dan penuh makna,” ujarnya.
Menurut beliau, tatacara pemakaian juga ditekankan agar murid menjaga simbol negara itu dengan baik dan tidak mempermainkannya.
Dalam masa sama, Dr Hafidzah turut mengajak ibu bapa bersama menjiwai semangat patriotisme ini supaya dapat disemai secara berterusan di rumah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

