Bapa simpan duit raya anak sejak bayi demi tunaikan haji sekeluarga

Mohammad Hatta (empat dari kanan) bersama lima anak dan dua menantunya semasa Majlis Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Selangor 1446 Hijrah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada Ahad.
Mohammad Hatta (empat dari kanan) bersama lima anak dan dua menantunya semasa Majlis Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Selangor 1446 Hijrah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang bapa tekad menyimpan duit raya anak-anaknya sejak mereka masih bayi lagi dengan harapan dapat membawa kesemuanya menunaikan haji.

Usaha Mohammad Hatta Abd Latif, 60, itu ternyata membuahkan hasil apabila kelima-lima anaknya terpilih menunaikan haji pada tahun ini.

"Duit raya anak-anak saya simpan dalam Tabung Haji (TH) dan saya niatkan sebagai persediaan haji mereka.

"Alhamdulillah, tahun ini kami sekeluarga akan berangkat bersama ke Mekah," katanya ketika ditemui selepas Majlis Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Selangor 1446 Hijrah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Ahad.

Mohammad Hatta dan isterinya, Nor Aini Ismail, 55, yang menunaikan haji buat kali kedua turut disertai lima anak serta dua menantu bagi menunaikan ibadah tersebut buat kali pertama.

Semua sembilan ahli keluarga itu dijangka berangkat ke tanah suci pada 30 Mei depan.

Mohammad Hatta yang menetap di Seksyen 13 Shah Alam memberitahu, hasrat untuk membawa anak-anak ke tanah suci itu timbul selepas dia dan isterinya menunaikan haji buat kali pertama pada tahun 2008.

Selain itu, katanya, pemergian mereka ke tanah suci itu juga merupakan amanat arwah bapanya yang mahu melihat anak dan cucunya melaksanakan rukun Islam kelima itu.

Artikel Berkaitan:

Mengimbas kembali perjalanan pendaftaran haji, Hatta berkata, dia bersyukur kerana segala urusan dipermudahkan oleh pihak TH dan diberi masa secukupnya untuk membuat keputusan serta menyelesaikan segala persediaan.

"Saya sangat terharu kerana doa di bumi Arafah pada tahun 2008 untuk membawa anak-anak ke tanah suci akhirnya dimakbulkan dan ini juga sebagai tanda melunaskan amanat arwah ayah,” katanya.

Sementara itu, anak bongsunya yang juga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, Melaka, Muhammad Hanif, 20, berasa teruja kerana diberi rezeki dan peluang mengerjakan haji pada usia muda.

Katanya, meskipun terkejut dan merasa gementar pada awalnya namun dia tetap bersedia pergi ke Tanah Suci.

"Ibu bapa memberi dorongan dan bimbingan untuk belajar selain turut mengikuti kursus haji,"ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!