Pesara KKM maut kemalangan empat kenderaan

KANGAR - Seorang pesara pembantu makmal Kementerian Kesihatan (KKM) maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di jalan utama Titi Tinggi dekat Padang Besar pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah dalam kenyataan berkata, Ab Rashid Hashim, 73, yang memandu kereta jenis Perodua Viva meninggal dunia di lokasi kejadian dan polis menerima laporan mengenai insiden itu pada 1.15 tengah hari.
Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger dipandu lelaki tempatan berusia 42 tahun dari arah Kangar menuju Padang Besar memasuki laluan bertentangan sehingga melanggar kereta Viva dan seterusnya dua lagi kereta jenis Perodua Axia dan Myvi.

"Akibat daripada kemalangan ini, pemandu Perodua Viva disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dan kes masih dalam siasatan.
"Hasil semakan dapati pemandu Ford Ranger mempunyai satu rekod saman trafik iaitu memotong garisan berkembar,” katanya.
Mohd Shokri berkata, mayat warga emas itu dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini manakala pemandu Ford Ranger serta pemandu dan beberapa penumpang kereta Axia dan Myvi cedera ringan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!