Dua remaja India teruja sertai sukan memanah

Sashwin (kiri) dan Yathesvaran.
Sashwin (kiri) dan Yathesvaran.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Dua remaja India dari Johor mencuri tumpuan apabila menjadi antara peserta bukan Melayu yang menyertai acara Kejohanan Memanah Tradisional Johor (KMTJ) di Arena Emas, Taman Impian Emas di sini pada Ahad.

Tinjauan Sinar Harian mendapati kedua-dua remaja berkenaan agak teruja menyertai kejohanan berkenaan walaupun ia bukannya kali pertama mereka terlibat dalam sukan berkenaan.

Malah penyertaan mereka membuktikan bahawa sukan memanah juga diminati oleh masyarakat bukan Melayu.

SHASWIN
SHASWIN

Menurut P Shaswin, 15, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Mengkibol, Kluang, sejak berusia lapan tahun lagi dia sudah aktif dalam sukan memanah.

Bagaimanapun anak bongsu daripada dua beradik itu berkata, minatnya terhadap sukan tersebut semakin mendalam apabila menyertai kelab memanah Zawra di Kluang.

"Saya memang minat sukan memanah sejak kecil dan walaupun saya satu-satunya wakil kaum India dalam kejohanan kali ini tapi saya rasa bangga.

"Saya juga menyasarkan untuk terpilih mewakili Johor pada Kejohanan Memanah Tradisional peringkat kebangsaan pada Mei nanti," katanya.

YATHESVARAN
YATHESVARAN

Artikel Berkaitan:

J Yathesvaran, 13, dari SMK Pasir Putih, Pasir Gudang pula berharap dirinya dapat membuktikan kewibawaan dalam sukan memanah, sekali gus terpilih ke KMJ peringkat kebangsaan nanti.

Sekiranya terpilih dia berazam untuk melakukan yang lebih baik bagi mencatatkan lebih banyak kejayaan, tambahnya.

"Fokus saya sekarang adalah untuk layak ke peringkat negeri. Sebelum ini, saya pernah bermain dalam sukan Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Pasir Gudang 2024.

"Jadi, saya harap pengalaman itu boleh membantu saya capai hasrat saya kali ini," katanya.

Ditanya mengapa dia memilih memanah berbanding sukan lain, Yathesvaran berkata, ia bagi membiasakan dirinya untuk kekal fokus selaras dengan cita-citanya untuk bergelar seorang pegawai polis suatu hari nanti.

Peserta yang mengambil bahagian dalam KMTJ di Arena Emas, Johor Bahru pada Ahad.
Peserta yang mengambil bahagian dalam KMTJ di Arena Emas, Johor Bahru pada Ahad.

"Cita-cita saya adalah untuk menjadi seorang pegawai polis dan sebagai seorang pegawai polis mesti berdisiplin," katanya.

KMTJ yang berlangsung di Arena Emas, Taman Impian Emas itu berjaya menghimpunkan seramai 480 peserta dari seluruh negeri.

Ia dibahagikan kepada 12 kategori lelaki dan wanita yang mana kebanyakan pesertanya mengenakan kostum tradisional seperti bertanjak dan sebagainya.

Bagaimanapun peserta turut diberikan kelonggaran memakai pakaian sukan yang bersesuaian untuk keselesaan masing-masing.

Johor diwakili seramai 44 atlet iaitu tiga peserta terbaik daripada setiap kategori umur merangkumi 9, 12, 15 dan 17 tahun untuk kategori lelaki dan perempuan sementara bagi kategori dewasa pula seramai 10 lelaki dan 10 wanita terpilih.

JASNI
JASNI

Sementara itu, Presiden Persatuan Memanah Tradisional Johor (PMTJ), Jasni Tasripan berkata, KMTJ 2025 diharap mampu menjadi platform penting bagi mengangkat martabat sukan memanah tradisional sebagai warisan budaya bernilai tinggi.

Katanya, kejohanan anjuran PMTJ itu dilihat sebagai inisiatif strategik bagi mengukuhkan kedudukan memanah tradisional bukan sahaja sebagai aktiviti rekreasi tetapi malah sebagai sukan kompetitif yang mampu mencipta atlet bertaraf kebangsaan.

“Kejohanan ini bukan sekadar pertandingan tetapi merupakan satu usaha berterusan bagi memartabatkan seni sukan memanah tradisional sebagai sebahagian daripada identiti sukan Johor.

"Oleh itu, kita mahu bakat-bakat muda digilap sejak awal sebagai persediaan bagi sesi pemilihan atlet yang akan mewakili Johor ke Kejohanan Memanah Tradisional Kebangsaan 2025 yang dijadualkan berlangsung di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Melaka dari 31 Mei hingga 1 Jun depan.

"Dalam masa sama, kita juga berharap agar penganjuran akan datang lebih ramai yang dapat menyertai kejohanan ini termasuklah daripada bukan Melayu, memang kita galakkan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!