Tiada perbincangan mengenai gabungan baharu di Sabah

Frankie (lima dari kiri) bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong (empat dari kanan) dan para penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2019 Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah hari ini. - Foto Bernama
Frankie (lima dari kiri) bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong (empat dari kanan) dan para penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2019 Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Pemangku Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata, tiada perbincangan berlaku dalam kalangan pemimpin parti di negeri itu berhubung gabungan baharu pemerintah di peringkat Persekutuan sejak kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang minggu lepas.

"Setahu saya tiada isu kerana saya tahu semua orang gembira dengan kepimpinan di bawah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal," kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Papat itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas prapelancaran Pendigitalan Kementerian Kesihatan Negeri dan Kesejahteraan Rakyat serta penyampaian anugerah perkhidmatan cemerlang di sini hari ini.

Frankie diminta mengulas laporan media hari ini yang menyebut bahawa satu gabungan baharu di bawah landskap politik baharu akan mengambil alih pentadbiran di lima negeri termasuk Sabah.

Beliau berkata, daripada sejumlah 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), kerajaan negeri semasa Sabah mempunyai 48 ADUN termasuk lima wakil rakyat yang dicalonkan.

Frankie berkata, Mohd Shafie telah melakukan tugasan yang cemerlang menjaga kebajikan rakyat dan kepentingan Sabah. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Perikatan Nasional dijangka rampas tiga lagi negeri

Artikel Berkaitan: