Pengawal keselamatan tembak lelaki mengamuk dirakam keterangan

Tangkap layar video seorang lelaki yang mengamuk dan bersenjata parang cedera selepas ditembak di sebuah restoran di Banting pada Sabtu.
Tangkap layar video seorang lelaki yang mengamuk dan bersenjata parang cedera selepas ditembak di sebuah restoran di Banting pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LANGAT – Seorang pengawal keselamatan yang dipercayai menembak individu mengamuk dalam kejadian di sebuah restoran berhampiran Hospital Banting pada Sabtu telah dirakam keterangan bagi siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, siasatan awal mendapati pengawal keselamatan terbabit sedang bertugas di Hospital Banting ketika kejadian berlaku.

“Pengawal keselamatan berkenaan tidak ditahan, namun dirakam keterangan berhubung kejadian.

“Lelaki yang ditembak dalam kejadian itu mengalami patah tulang kaki kanan akibat terkena tembakan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan seorang lelaki mengamuk sebelum cedera dipercayai ditembak oleh pengawal keselamatan dalam kejadian di sebuah restoran berhampiran Hospital Banting.

Mohd Akmalrizal berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pertama pada jam 12.05 tengah malam daripada seorang individu tempatan yang memaklumkan adik lelakinya mengamuk di rumah.

Menurut beliau, pada jam 3.31 petang hari yang sama, pihak polis menerima satu lagi panggilan melaporkan kejadian seorang lelaki mengamuk dan bertindak mengacukan sebilah parang ke arah pegawai perubatan di sebuah restoran, sebelum satu das tembakan dilepaskan ke arah suspek.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960.

Artikel Berkaitan:

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan pihak polis,” katanya.

Berdasarkan rakaman video berdurasi 57 saat yang tular di media sosial, beberapa individu dilihat menggunakan kerusi untuk mempertahankan diri daripada serangan lelaki tersebut.

Suspek kemudiannya ditahan selepas seorang pengawal keselamatan dikatakan melepaskan satu das tembakan ke arah kakinya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!