Lelaki mengamuk cedera ditembak

BANTING - Seorang lelaki mengamuk sebelum cedera dipercayai ditembak pengawal keselamatan dalam kejadian di sebuah restoran berhampiran Hospital Banting di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, satu panggilan diterima pihaknya pada jam 12.05 tengah malam daripada individu tempatan yang melaporkan adik lelakinya mengamuk di rumah.
Katanya, anggota kereta peronda telah tiba di lokasi kejadian sebelum lelaki terbabit dibawa ke Hospital Banting untuk rawatan.
"Pada jam 3.31 petang, polis telah menerima panggilan yang melaporkan terdapat kejadian lelaki mengamuk dan bertindak mengacukan sebilah parang ke arah pegawai perubatan di sebuah restoran.
"Satu tembakan kemudian telah dilepaskan ke arah lelaki terbabit," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960.
Jelasnya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.
"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kes terbabit boleh tampil ke balai polis berdekatan.
"Orang ramai juga boleh hubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-31872222," ujarnya.
Berdasarkan rakaman video berdurasi 57 saat yang tular di media sosial, beberapa individu dilihat menggunakan kerusi bagi mempertahankan diri daripada diserang lelaki itu.
Lelaki itu kemudian ditahan selepas seorang pengawal keselamatan dikatakan melepaskan satu das tembakan pada kakinya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!