Polis beri jaminan keselamatan pemberi maklumat berkaitan dadah
KUALA LUMPUR – Masyarakat diminta tidak gusar serta khuatir dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan penyalahgunaan dadah kepada pihak polis.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata, JSJN akan menjamin kerahsiaan identiti dan keselamatan individu yang tampil memberi maklumat.
Menurutnya, setiap maklumat yang disalurkan oleh orang awam menjadi titik permulaan kepada kejayaan tindakan siasatan serta operasi yang dilaksanakan.
"Setiap maklumat yang diterima akan diproses secara sulit dan identiti pemberi maklumat dalam apa jua sekali pun tidak akan didedahkan kepada mana-mana pihak.
"Ini adalah satu jaminan yang kita ambil serius demi keselamatan dan kesejahteraan pemberi maklumat dan keluarga mereka," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Mat Zani berkata, kerjasama masyarakat amat penting dalam usaha memerangi penyalahgunaan serta pengedaran dadah di negara ini.
"Masyarakat adalah ‘mata dan telinga’ polis di peringkat akar umbi. Tanpa bantuan dan maklumat mereka, usaha membanteras sindiket dadah akan menjadi lebih sukar.
"Orang ramai juga diminta tidak takut untuk tampil membantu pihak berkuasa dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah dadah," katanya.
Menurutnya, maklumat boleh disalurkan melalui talian hotline JSJN, balai polis berdekatan atau secara dalam talian menerusi saluran rasmi PDRM.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak berkongsi maklumat melalui media sosial tidak rasmi bagi mengelakkan salah faham atau pendedahan identiti.
"Elakkan berkongsi maklumat melalui media sosial yang tidak rasmi, bagi mengelakkan salah faham atau pendedahan identiti.
"Setiap maklumat yang diterima akan dinilai dengan teliti dan tindakan akan diambil mengikut prinsip serta lunas undang-undang," katanya.
Tambahnya, ancaman dadah perlu ditangani secara bersama dan bukan hanya meletakkan tanggungjawab itu kepada pihak berkuasa.
"JSJN amat menghargai kerjasama rakyat dalam memastikan negara kita bebas daripada ancaman dadah.
"Kejayaan membanteras jenayah ini adalah kejayaan kita bersama," katanya.
Sinar Harian pada Jumaat melaporkan pihaknya akan terus memburu 'ikan jerung' serta dalang utama melibatkan sindiket pengedaran dadah di negara ini.
Mat Zani menerusi sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman berkata, walaupun terdapat pelbagai cabaran, pihaknya berusaha keras mengenal pasti dalang utama sindiket dadah dan mengheret mereka yang terlibat ke muka pengadilan.
"JSJN berusaha sedaya upaya membanteras ancaman dadah ini. Kami tidak mahu masyarakat menganggap JSJN hanya menyasarkan 'ikan bilis'.
"Pelbagai operasi berskala besar sedang dirancang termasuk mengenal pasti dalang sebalik rangkaian pengedaran dadah dan menangkap mereka dalam masa terdekat," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

