Disangka hilang, rupanya suami bersih bumbung rumah jiran

Mohamad Izat (kiri). Mohamad Izat yang disangka hilang rupanya sedang membersihkan bumbung zink rumah jiran.
Mohamad Izat (kiri). Mohamad Izat yang disangka hilang rupanya sedang membersihkan bumbung zink rumah jiran.
A
A
A

SHAH ALAM – Aksi spontan seorang suami yang memanjat bumbung rumah jiran untuk menyapu daun kering mencuri perhatian netizen selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan gelagat bersih-bersihnya yang luar biasa.

Peristiwa itu dikongsi isterinya, Nurul Ain Farihah Mohd Zulkepli, 31, seorang usahawan tudung dari Kota Bharu, Kelantan, yang pada awalnya menyangka suaminya, Mohamad Izat Al Hafiz Mustaffa, 33, ‘menghilang’ selepas pulang menghantar anak-anak ke sekolah. Rupa-rupanya, lelaki itu sedang sibuk mencuci bumbung rumah jiran!

Menurut Nurul Ain, suaminya memang dikenali sebagai seorang yang sangat mementingkan kebersihan sehinggakan jika dia sendiri sudah mengemas rumah, suaminya tetap akan buat semula jika rasa tak puas hati.

“Kalau saya mop lantai, dia akan mop balik. Dia kena buat sampai dia sendiri rasa bersih dan sempurna,” katanya berseloroh.

Lebih menarik, kegigihan Izat dalam menjaga kebersihan tidak terhenti di dalam rumah sendiri, malah melangkaui kawasan jiran dan saudara-mara.

“Jiran kami pun dah biasa dengan dia. Kalau nampak dia tengah bersihkan kawasan rumah orang pun mereka tak kisah, sebab tahu itu memang perangai dia,” tambah Nurul Ain.

Nurul Ain Farihah (kanan), Mohamad Izat (kiri) bersama kedua-dua anak mereka.
Nurul Ain Farihah (kanan), Mohamad Izat (kiri) bersama kedua-dua anak mereka.

Tindakannya memanjat bumbung dan sentiasa mengelap dapur hingga berkilat mula menjadi tular selepas Nurul Ain memuat naik video-video gelagat suaminya di media sosial. Ramai netizen menyangka Izat menghidap OCD (Obsessive Compulsive Disorder), namun menurut isterinya, ia lebih kepada sifat semula jadi.

Artikel Berkaitan:

“Dari awal kahwin sampai sekarang, dia memang begitu. Bagi saya, dia bukan OCD, cuma memang seorang yang sangat bersih. Rumah memang sentiasa kemas dan saya pun suka,” jelasnya.

Walaupun kadang-kadang perangai suaminya itu boleh menguji kesabaran terutamanya bila mereka sudah bersiap untuk keluar rumah tapi dia tiba-tiba sibuk mop lantai, namun bagi Nurul Ain, kelebihan itu lebih banyak membawa manfaat dalam kehidupan mereka sekeluarga.

Izat sendiri mengakui dia mendapat ketenangan jiwa apabila melihat rumah berada dalam keadaan bersih.

“Saya tak boleh tengok kawasan kotor. Kalau bersepah saya boleh tahan, tapi kalau kotor saya memang tak boleh duduk diam. Saya akan bersihkan segera walaupun bukan rumah saya sendiri,” katanya.

Bagi Izat, bukan pujian yang dicari, tetapi rasa puas hati apabila segala-galanya bersih dan teratur.

“Rasa tenang, itu yang saya cari,” katanya ringkas tetapi penuh makna.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!