Disangka hilang, rupanya isteri lari dengan kekasih

AGRA – Seorang lelaki di India yang melaporkan kehilangan isterinya dikejutkan dengan penemuan tidak diduga selepas melihat wanita itu bersama lelaki lain dalam sebuah video yang tular di WhatsApp, dipercayai dirakam di kawasan pelancongan terkenal, Taj Mahal.
Mangsa yang dikenali sebagai Shakir, 40, memfailkan laporan polis selepas isterinya, Anjum, didapati hilang dari rumah mereka pada 15 April lalu ketika dia pulang daripada menghadiri satu majlis perkahwinan keluarga.
Menurut laporan agensi berita PTI, Shakir mendakwa rumahnya berkunci dan isterinya bersama empat anak mereka turut tiada, selain beberapa barangan berharga juga didapati hilang.
Ketua Balai Polis Rorawar, Inspektor Shiv Shankar Gupta berkata, jiran memaklumkan Anjum meninggalkan rumah bersama anak-anak sebelum sempat sesiapa menyapa dia.
Bagaimanapun, selepas beberapa hari usaha mencari tidak membuahkan hasil, seorang ahli keluarga Shakir menemui satu video status WhatsApp yang memaparkan Anjum sedang berada di Taj Mahal bersama seorang lelaki tidak dikenali.
“Shakir mengenal pasti lelaki itu sebagai individu yang bekerja di kawasan perniagaan tempat dia mencari rezeki. Siasatan awal mendapati mereka berdua dipercayai menjalinkan hubungan dan mengambil kesempatan untuk melarikan diri ketika Shakir tiada di rumah,” kata Inspektor Gupta.
Polis daerah Aligarh telah menghubungi pihak berkuasa di Agra dan kini sedang menjejaki pasangan terbabit. -Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

