Mayat wanita berlumuran darah dibalut selimut dalam bilik sewa

CIAMIS - Misteri bau busuk menyengat akhirnya terungkai susulan penemuan mayat wanita berlumuran darah hampir kering di sebuah bilik sewa.
Pihak berkuasa memaklumkan tubuh mangsa yang telah membusuk itu turut dibalut dengan pita pelekat kemudiannya lapisan selimut dan plastik ketika pemeriksaan dilakukan di sebuah bilik sewa di Lingkungan Pabuaran, Kecamatan Ciamis, Kabupaten Ciamis di Indonesia pada Khamis lalu.
"Kami menerima aduan daripada penduduk yang mencium bau kurang menyenangkan. Kawasan sekitar bilik itu turut dipenuhi tompokan darah.
"Mayatnya sudah dihantar ke Rumah Sakit Umum Daerah (RSUD) Kota Banjar untuk proses autopsi dan mengenal pasti identitinya," kata jurucakap polis, AKP Carsono.
Menurutnya, pihak berkuasa masih mengumpulkan keterangan saksi dan penghuni bilik sewa lain.
"Kami masih belum dapat mengesahkan punca kematiannya, namun tidak menolak kemungkinan ia adalah kes pembunuhan. Kami akan menjejaki pelakunya," ujarnya lagi.
Sementara itu, salah seorang penghuni bilik sewa tersebut, Een Kurnia berkata, kamar itu dihuni oleh seorang duda kepada dua anak yang bekerja sebagai ojek online.
"Dia sering singgah di warung saya. Tetapi, saya tidak kenal dengan mangsa," jelasnya.
Tribunjabar.id menerusi laporan mereka menyatakan keberadaan lelaki itu masih tidak diketahui. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!