Covid-19: Tujuh kontak rapat Ahli Lembaga Pengarah UDA positif

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Tujuh individu yang disahkan positif koronavirus (Covid-19) hari ini merupakan kontak rapat seorang Ahli Lembaga Pengarah UDA Holdings Berhad (UDA) yang sebelum ini positif wabak berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kesemua kes berkenaan melibatkan rakyat tempatan.

"Bagi kes ke-30 adalah seorang lelaki berusia 38 tahun dan mempunyai sejarah perjalanan ke Australia pada 12 Februari sebelum pulang ke tanah air empat hari kemudian.

"Lelaki berkenaan tidak menunjukkan sebarang gejala dan kes disahkan positif semalam semasa aktiviti pengesanan kontak dilakukan.

"Pesakit dalam keadaan stabil dan dirawat di wad isolasi Hospital Sungai Buloh," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, seorang lelaki berusia 50 tahun direkodkan sebagai kes 31.

"Dia tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara, namun dilapor mula bergejala pada 26 Februari lalu dan turut disahkan positif wabak itu semalam semasa aktiviti pengesanan dijalankan," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, seorang wanita berusia 43 tahun yang bergejala pada 27 Februari lalu disahkan positif semalam merupakan kes ke-32.

Artikel Berkaitan:

"Dia tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur," katanya.

Menurutnya, kes ke-33 melibatkan lelaki berusia 58 tahun dan menghadiri mesyuarat di Kuching, Sarawak pada 16 Februari lalu.

"Kes disahkan positif semalam semasa aktiviti pengesanan kontak dilakukan.

"Pesakit dirawat di Hospital Sungai Buloh dan berada dalam keadaan stabil," katanya.

Menurutnya, bagi kes ke-34, seorang paramedik hospital berusia 40 tahun yang merawat kes ke-26 turut disahkan dijangkiti wabak itu.

"Dia disahkan positif Covid-19 hari ini dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh," katanya.

Tambah Dr Noor Hisham, seorang wanita berusia 50 tahun mempunyai sejarah perjalanan ke Australia pada 31 Januari lalu dan pulang ke negara ini pada 16 Februari lalu merupakan kes ke-35.

"Dia dikesan dalam aktiviti pengesanan kontak dan disahkan positif hari ini.

"Wanita itu ditempatkan di Hospital Sungai Buloh untuk rawatan," katanya.

Bagi kes ke-36, lelaki berusia 49 tahun telah mengunjungi Mesir pada 23 Januari sebelum pulang 1 Februari lalu.

"Dia tidak menunjukkan sebarang gejala, namun pengesanan kontak dilakukan dan disahkan positif Covid-19 hari ini.

"Kes dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh dan berada dalam keadaan stabil," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan Covid-19 dari semasa ke semasa.

"Aktiviti pengesanan kontak rapat bagi kes ke-26 dan kes-kes baru yang dilaporkan ini masih dijalankan.

"Orang ramai akan dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya," katanya.

Semalam, UDA Holdings Berhad dalam kenyataannya mengesahkan pegawai kanannya disahkan positif Covid-19.

Pemimpin tersebut dikatakan telah menghadiri majlis Apresiasi meraikan bekas menteri dan timbalannya di Hotel Ancasa, Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Beliau disahkan positif pada keesokan harinya.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Ahli Lembaga Pengarah UDA disahkan positif: UDA Holdings

Covid-19: Kakitangan UDA diarah kerja dari rumah