Kebun sayur curi air kena serbu

Mohd Fazil (kiri) melihat penyambungan paip secara haram di kebun sayur dekat Kampung Jimah semalam.
Mohd Fazil (kiri) melihat penyambungan paip secara haram di kebun sayur dekat Kampung Jimah semalam.
A
A
A

PORT DICKSON - Sebuah kebun sayur di Kampung Jimah Lama Lukut di sini diserbu, hari ini kerana menjalankan aktiviti mencuri air milik Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains).

Pengarah Unit Komunikasi dan Hal Ehwal Pengguna Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Mohd Fazil Ismail berkata, dalam operasi yang dilakukan oleh SPAN bersama penguatkuasa Sains itu mendapati kebun sayur tersebut melakukan penyambungan bekalan air secara haram di tetiang meter (tanpa meter air) di kawasan tersebut.

Katanya, sambungan haram yang dilakukan lebih setahun itu dipercayai menyalurkan bekalan air ke dalam premis tersebut bagi tujuan aktiviti penanaman dan untuk kegunaan harian.

"Kita telah memotong paip yang menyambung bekalan air tidak sah itu dan mereka akan dikenakan notis kompaun.

"Kesalahan dilakukan di bawah Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) dan pihak SPAN akan menjalankan siasatan dengan lebih lanjut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam serbuan yang dilakukan di Kampung Jimah Lama dekat sini hari ini.

Tambahnya, mengikut Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655), tiada seorang pun selain pemegang lesen boleh membuat apa-apa sambungan ke suatu sesalur utama awam atau paip air perkhidmatan.

Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohd Fazil juga memaklumkan catuan di Melaka dan Kedah dijangka akan berlarutan sehingga pertengahan bulan Mac ini.

Katanya, kedua-dua negeri itu masih mengalami tahap air kering yang tinggi dan masih mencari kaedah untuk menyelesaikan masalah itu.