Julung kali anjur Hari Kebajikan Negeri Kelantan 2020 17 Mac ini

Mumtaz (berdiri) bersama media yang diraikan hari ini di sebuah hotel.
Mumtaz (berdiri) bersama media yang diraikan hari ini di sebuah hotel.
A
A
A

KOTA BHARU- Seiring dengan tema Negeri Berkebajikan, Membangun Bersama Islam menjadi fokus Kerajaan Kelantan untuk sentiasa komited dalam usaha meningkatkan kesejahteraan golongan penerima kebajikan berteraskan falsafah golongan berkenaan juga mempunyai hak yang sama dengan orang lain.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Datuk Mumtaz Md Nawi berkata, sehubungan itu, buat pertama kalinya Kerajaan Kelantan menganjurkan sambutan Hari Kebajikan Negeri Kelantan 2020 (HKN 2020) yang akan berlangsung dari 17 Mac hingga 21 Mac di Kompleks Darul Naim Lundang.

Menurutnya, program berkenaan dilaksanakan bagi mengetengahkan Kerajaan Negeri Kelantan sebagai ‘Negeri Berkebajikan, Membangun Bersama Islam’ yang sangat menitikberatkan kebajikan rakyat.

“Ini juga platform untuk mempromosikan pencapaian komponen kebajikan Kelantan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa sempena sambutan 30 tahun di bawah pentadbiran Dasar Membangun Bersama Islam.

“Sebagai bukti, kerajaan Kelantan telah melaksanakan lebih 100 inisiatif Kelantan Cakna Kebajikan antaranya, penggubalan dasar berkebajikan dan kesejahteraan rakyat Negeri Kelantan, pelaksanaan cuti ihdad termasuk bengkel pemantapan ibadah OKU dan jati diri,” katanya ketika ditemui di Majlis Ramah Mesra Media sempena Program HKN 2020, hari ini.

Dalam pada itu katanya, program selama lima hari itu juga dianjurkan bagi memperkenalkan Dasar Berkebajikan dan Kesejahteraan Rakyat dan Gagasan OKU Muqarrabun.

“Ia turut memberi pendedahan tentang cabaran semasa, polisi dan isu-isu kebajikan sama ada di peringkat nasional ataupun antarabangsa serta merangka pelan tindakan strategik ke arah menghasilkan amalan terbaik negeri berkebajikan di tempat masing-masing,” katanya.

Menurutnya, sempena program berkenaan ia turut diadakan Persidangan Kebajikan Kelantan melibatkan pembentangan kertas kerja dalam dan luar negara iaitu dari Thailand, Singapura, Indonesia, Brunei, Filipina dan Turki.

Artikel Berkaitan:

Majlis makan malam amal kebajikan dan seminar keibubapaan, penjaga anak sindrom Kelantan serta program dhuha anak syurga turut diadakan.