Pacu polisi sukan lahirkan Olimpian

PUCUK pimpinan negara perlu berani dan tegas bagi membentuk dasar sukan yang dinamik dalam usaha melahirkan Olimpian di pentas dunia.
Saranan tersebut dibuat Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Nazifuddin Najib yang menyifatkan sistem pembangunan sukan sedia ada tidak mencukupi untuk mencungkil bakat baharu di peringkat akar umbi.
Situasi tersebut kata beliau menyebabkan prestasi sukan Malaysia kekal di takuk lama atau terus merudum berbanding negara maju yang berkembang dengan pesat.
Tambahnya, ketidakupayaan negara untuk mengilap bakat dari bawah berpunca daripada struktur yang ketinggalan zaman, pendidikan jasmani yang lemah, kesedaran sukan yang cetek, serta kekurangan keazaman politik.
"Adakah kita bersedia dan berani untuk berubah? Sepertimana kerajaan pernah menukar medium pendidikan dari Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu. Keberanian seperti itu yang kita perlukan.
“Perubahan dasar tidak memerlukan wang yang banyak, tetapi ia memerlukan pemimpin yang berani membuat keputusan yang sukar," katanya ketika sidang media terakhir pada Khamis sebelum meletak jawatan.
MOM pada Sabtu akan mengadakan pemilihan pucuk pimpinan tertinggi sempena mesyuarat agung badan induk sukan negara itu.
Mohd Nazifuddin tidak mempertahankan jawatan yang disandang sejak 2018 itu bagi memberi laluan kepada muka baharu.
Beliau turut mengimbas mengenai perubahan yang terlalu sedikit dan perlahan dalam subjek Pendidikan Jasmani (PJ) sejak zaman persekolahannya sehingga kini.
"PJ dengan guru yang sama turut mengajar seni. Kami menukar pakaian sukan dan kemudian bermain bola sepak, tiada struktur, tidak ada asas tentang cara menjadi seorang atlet dan tiada pengenalan kepada sukan.
"Apa yang saya nampak, 'kolam' bakat yang kita ada tidak mencukupi. Kita perlu banyak lagi, mungkin ada potensi, tetapi kita tidak tahu kerana tidak diasah dan kalau ada peluang pun, cuma sedikit," katanya.
Mohd Nazifuddin turut berkongsi pengalamannya ketika belajar di United Kingdom (UK) menerusi perbezaan sikap yang sangat ketara.
"Di UK, sukan mengambil masa sehingga separuh hari, mereka memanfaatkan waktu itu sepenuhnya. Sukan menjadi budaya dan gaya hidup. Di Malaysia, untuk mendapatkan dua waktu PJ pun jadi satu cabaran," katanya.
Justeru beliau mengalu-alukan jawatankuasa kerja di bawah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang memberi tumpuan kepada 20 sukan teras, tetapi berkata lebih banyak usaha diperlukan.
"Duduk semeja, dapatkan pakar, media dan bekas atlet untuk membentuk sebuah kumpulan pemikir yang sebenar. Kita perlukan idea-idea besar.
Tokoh berusia 41 tahun itu juga melihat bahawa Malaysia terlalu bergantung kepada institusi elit seperti Majlis Sukan Negara (MSN) serta sekolah sukan dan bakat besar yang terdapat di sekolah-sekolah arus perdana mungkin terlepas pandang.
"Anda mungkin mendapat 100 pelajar di sekolah sukan dan daripada jumlah itu cuma 20 hingga 30 peratus berjaya. Bagaimana pula dengan pelajar lain dari seluruh negara?
"Kita tidak mempunyai sistem yang betul untuk mencari, melatih dan mengekalkan mereka dalam ekosistem sukan sebelum digilap ke pentas tertinggi dan kemudian meraih pingat di Sukan Olimpik," ujar Mohd Nazifuddin.
Sebagai rekod, beliau mula berjinak-jinak dengan MOM setelah dipilih sebagai naib presiden pada pemilihan penggal 2015-2017.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
