'Drama YB cekik pramugari masuk episod baharu'

JAKARTA - Kes melibatkan Ahli Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Sumatera Utara, Megawati Zebua, yang didakwa mencetuskan kekecohan kerana mencekik seorang pramugari syarikat penerbangan Wings Air, kini memasuki fasa baharu apabila pihak syarikat penerbangan terbabit secara rasmi membuat laporan polis di Markas Polis Resor (Polres) Nias.
Wings Air turut menafikan sebarang bentuk perdamaian antara kedua-dua pihak dalam insiden yang berlaku pada penerbangan IW-1267 laluan Gunungsitoli ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu, Medan pada 13 April 2025.
"Berdasarkan laporan dan catatan sebenar di lapangan, tiada permintaan damai daripada pihak pelanggan kepada pramugari yang bertugas," kata Jurucakap Komunikasi Strategik Korporat Wings Air, Danang Mandala Prihantoro pada Khamis.
Danang menjelaskan bahawa syarikat telah membuat keputusan untuk meneruskan kes ini melalui saluran perundangan, dan laporan rasmi telah pun dibuat kepada pihak berkuasa.
"Wings Air tetap komited dalam melindungi keselamatan serta profesionalisme kru kabin, di samping memastikan ketenteraman dan keselesaan semua penumpang sepanjang penerbangan.
"Sehubungan itu, kami akan meneruskan proses undang-undang mengikut peraturan yang berkuat kuasa, dan perkara ini akan ditangani oleh pihak berkuasa di Markas Polis Resor Nias, Sumatera Utara," katantya.
Sebelum ini, Megawati Zebua ketika dihubungi oleh pihak detikSumut mendakwa bahawa beliau dan pramugari terbabit telah saling memaafkan selepas kejadian berlaku.
"Sudah ada komunikasi dan saling memaafkan. Biarlah ini menjadi pengajaran kepada kita semua – baik penumpang mahupun pramugari.
"Saya tidak tahu menahu mengenai tindakan undang-undang, baru sahaja mendengarnya. Tiada komunikasi lagi dengan pihak pramugari, sebab saya anggap perkara ini sudah selesai dan saling memaafkan," katanya selepas menghadiri Mesyuarat Parlimen Dewan Perwakilan Rakyat Daerah Sumatera Utara.
Megawati juga menjelaskan bahawa perdamaian itu berlaku ketika beliau masih berada di Lapangan Terbang Binaka, selepas diturunkan daripada pesawat.
"Semasa masih di lapangan terbang, kami sempat saling meminta maaf. Saya hendak pulang sebab sudah ketinggalan pesawat.
"Ketika itu, saya hubungi Pengarah Lapangan Terbang, Encik Zulkifli, saya terangkan perkara tersebut dan beliau minta saya bersabar. Saya pun cakap saya sudah sabar, dan anggap perkara ini sebagai pengajaran," ujarnya.
Bagaimanapun, pihak Wings Air menegaskan tiada perdamaian rasmi berlaku, dan tindakan undang-undang kini sedang diteruskan oleh pihak berkuasa. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!