Bicara kes tiga ahli keluarga penyerang Balai Polis Ulu Tiram bermula 22 Oktober

Pada 30 September tahun lepas, Rosna mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan gagal memberi maklumat berkaitan ideologi keganasan di sebuah rumah di Kampung Sungai Tiram, Johor Bahru antara April 2017 hingga 17 Mei tahun lepas.

A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbicaraan kes tiga anggota keluarga penyerang Balai Polis Ulu Tiram di Johor yang berdepan satu pertuduhan berkaitan keganasan akan berlangsung selama lapan hari bermula 22 Oktober ini di Mahkamah Tinggi di sini.

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid menetapkan tarikh itu selepas dipersetujui Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam dan peguam Fatima Zulaikha Ahmad Bashri yang mewakili ibu penyerang, Rosna Jantan, 60, serta dua beradik Farhah Sobrina Radin Imran, 24, dan Mariah Radin Imran, 20.

"Mahkamah menetapkan perbicaraan kes ini pada 22 hingga 24 dan 27 hingga 31 Oktober 2025,” kata hakim itu pada pengurusan kes berkenaan hari ini.

Terdahulu, Mohamad Mustaffa berkata, pihaknya akan mengemukakan 15 saksi antaranya hakim Mahkamah Sesyen, pegawai penyiasat dan orang awam.

Pada 30 September tahun lepas, Rosna mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan gagal memberi maklumat berkaitan ideologi keganasan di sebuah rumah di Kampung Sungai Tiram, Johor Bahru antara April 2017 hingga 17 Mei tahun lepas.

Farhah Sobrina turut mengaku tidak bersalah pada 23 Oktober tahun lepas atas pertuduhan dengan sengaja enggan memberi maklumat berkenaan berkaitan ideologi keganasan di lokasi dan tarikh sama manakala pada 27 November 2024, Mariah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan serupa.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 20 Januari lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin membenarkan ketiga-ketiga kes itu dibicarakan bersama.

Artikel Berkaitan:

Dalam serangan di balai polis Ulu Tiram pada 17 Mei tahun lepas, dua konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terkorban manakala Koperal Mohd Hasif Roslan, 38, cedera ditembak selepas diserang seorang penyerang lelaki yang akhirnya ditembak mati dalam insiden tersebut.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!