X

Kindly register in order to view this article
!

Pemuda UMNO Sabah tolak Warisan sertai Perikatan Nasional

Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ir Abdul Aziz Julkarnain
A
A

KOTA KINABALU - Pemimpin Perikatan Nasional perlu menolak sebarang usaha Parti Warisan Sabah (Warisan) dan sekutunya untuk menyertai perikatan itu.

Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ir Abdul Aziz Julkarnain berkata, ini kerana Warisan bersama- sama Parti Pertubuhan Kinabalu Bersatu (UPKO) dan Pakatan Harapan (PH) masih menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri apabila Dewan Rakyat bersidang kelak.

"Seandainya Warisan memilih untuk menyokong kerajaan Persekutuan, itu lebih baik agar rakyat Sabah mendapat manfaatnya.

"Namun, sekiranya Warisan memilih untuk menyertai Perikatan, pemimpin Perikatan perlu menolak sepenuhnya. Ini kerana Warisan bersama UPKO dan PH masih berhajat untuk menyokong Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri apabila Dewan Rakyat bersidang kelak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, gabungan Warisan-PH-UPKO boleh menjadi pembangkang yang baik sebagai semak dan imbang kepada pentadbiran kerajaan Persekutuan.

"Pembangkang ada peranan yang besar kepada rakyat memandangkan gabungan itu masih kerajaan negeri.

"Polisi-polisi kerajaan Warisan amat bertentangan dengan doktrin bermasyarakat di Sabah apabila berlakunya Sempornasisasi, rancangan pemberian Pas Sementara Sabah (PSS), laungan 'Sabah Kita Punya' cukup membimbangkan masyarakat," katanya.

Abd Aziz juga optimis penyertaan Warisan ke dalam Perikatan Nasional juga akan mencetuskan konflik kepentingan di antara parti-parti kerajaan terutamanya isu Ketua Menteri Sabah yang bakal diputuskan di peringkat Mahkamah Persekutuan.

"Kami percaya kerajaan Warisan bakal runtuh sedikit masa lagi kerana ramai wakil-wakil rakyat sudah merungut kerana tidak diberi tempat oleh Warisan sebelum ini kerana kecenderungan melaksanakan proses Sempornasisasi secara berlebih-lebihan", katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus