[VIDEO] Dapat upah lebih RM26,000 simpan dadah

A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kehidupan mewah dua lelaki tempatan terbongkar selepas rumah teres di Bandar Baru Sri Petaling yang dipercayai menjadi lokasi menyimpan pelbagai jenis dadah bernilai RM13.6 juta diserbu pada 14 April lalu.

Kedua-dua suspek dipercayai bertindak sebagai penjaga serta penghantar dipercayai menerima upah sekitar RM26,900 bagi dadah yang disimpan serta dihantar mengikut arahan sindiket.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata, kedua-dua suspek masing-masing berumur 42 dan 43 tahun itu mulanya diberkas di sebuah restoran kira-kira jam 5.30 petang.

Beliau berkata, tangkapan dilakukan susulan risikan sekitar beberapa bulan yang dijalankan pihaknya berkaitan kegiatan dilakukan suspek.

"Tangkapan dijalankan ke atas kedua-dua suspek oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman kemudiannya membawa kepada serbuan di sebuah rumah teres di kawasan berkenaan.

"Hasil pemeriksaan di bahagian dapur rumah tersebut telah menjumpai 210 bungkusan plastik berisi dadah disyaki ketamin seberat 216.30 kilogram, lima bungkusan plastik berisi dadah disyaki methamphetamine (57.21 kg) dan empat bungkusan plastik berisi dadah disyaki ekstasi (5.68 kg)," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini pada Jumaat

Mat Zani menunjukkan antara dadah yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah teres di Bandar Baru Sri Petaling pada 14 April lalu.
Mat Zani menunjukkan antara dadah yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah teres di Bandar Baru Sri Petaling pada 14 April lalu.

Tambah beliau, semakan mendapati rumah teres itu disewa suspek sejak November tahun lalu.

"Siasatan mendapati rumah berkenaan dijadikan sebagai stor penyimpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan dan luar negara.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan mendapati rumah teres itu disewa dengan harga sebanyak RM1,700 sebulan, selain itu, siasatan turut mendapati tuan rumah terbabit tidak mengetahui kegiatan jenayah yang dijalankan kedua-dua suspek itu," katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek ini turut dikenal pasti memiliki pelbagai rekod jenayah termasuk pecah rumah, rompak dan dadah sebelum ini.

"Suspek pertama mempunyai 17 rekod lampau iaitu 10 rekod jenayah dan tujuh berkaitan dadah manakala suspek kedua memiliki tiga rekod iaitu satu jenayah dan dua berkaitan dadah.

"Saringan dijalankan turut mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine," katanya.

Mat Zani berkata, pihaknya percaya masih ada dalang utama terlibat dan 'mastermind' ini sedang diburu dan dipercayai berada di Thailand.

"Tangkapan kali ini melibatkan individu yang bertindak sebagai penyimpan dan pengedar dadah atas arahan sindiket melalui aplikasi komunikasi.

"Siasatan mendapati pakej dadah yang dirampas dibungkus seolah-olah produk teh Cina sebagai taktik penyamaran untuk mengaburi mata pihak berkuasa, bagaimanapun semakan mengesahkan tiada produk teh seumpama itu didaftarkan yang secara sah," katanya.

Ujarnya, dadah berkenaan dipercayai diseludup masuk dari negara jiran melalui utara tanah air sebelum dadah diedarkan untuk pasaran di Lembah Klang dan luar negara iaitu Indonesia dan Hong Kong dengan menggunakan khidmat penghantaran seperti kurier dan merekrut keldai dadah.

"Suspek menerima bayaran berdasarkan berat dadah iaitu kira-kira RM100 bagi setiap kilogram dan jumlah bayaran untuk kedua-dua suspek dipercayai sekitar RM26,900.

"Kedua-dua suspek kini direman tujuh hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!