38 terbunuh, 102 cedera dalam serangan udara AS ke Atas Yemen
Dalam serangan udara oleh tentera AS ke atas pelabuhan minyak Ras Isa

YEMEN – Sekurang-kurangnya 38 orang terbunuh dan 102 lagi cedera dalam serangan udara oleh tentera Amerika Syarikat (AS) ke atas pelabuhan minyak Ras Isa, menurut laporan media yang berpihak kepada kumpulan Houthi.
Insiden tersebut menjadikan serangan berkenaan antara yang paling dahsyat pernah dilakukan oleh tentera AS di Yemen.
Stesen TV Al Masirah, yang dikendalikan oleh Houthi, melaporkan bahawa serangan pada hari Khamis itu menyebabkan ramai pekerja pelabuhan menjadi mangsa, termasuk pemandu lori yang sedang bertugas ketika kejadian berlaku.
US Central Command (CENTCOM) dalam kenyataannya berkata, objektif serangan itu adalah untuk melumpuhkan sumber bahan api dan pendapatan kumpulan Houthi yang disokong oleh Iran, yang didakwa melakukan serangan terhadap kapal-kapal di Laut Merah sejak November 2023.
“Hari ini, tentera AS mengambil tindakan untuk menghapuskan sumber bahan api yang digunakan oleh Houthi,” kata CENTCOM menerusi media sosial, lapor Al Jazeera.
Rakaman video yang disiarkan oleh Al Masirah menunjukkan letupan besar yang menerangi langit malam di sekitar pelabuhan Ras Isa, diikuti dengan api dan asap tebal.
Beberapa rakaman lain menunjukkan mayat mangsa yang hangus serta pekerja pelabuhan yang melecur teruk ditemu bual dalam keadaan trauma.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pelabuhan Ras Isa merupakan infrastruktur penting – kira-kira 70 peratus import dan 80 peratus bantuan kemanusiaan Yemen masuk melalui pelabuhan ini dan dua pelabuhan utama lain: Hodeidah dan as-Salif.
Akibat serangan itu, kecaman meluas timbul di seluruh Yemen, bukan sahaja kerana jumlah korban yang tinggi tetapi juga disebabkan kepentingan strategik pelabuhan tersebut kepada kehidupan harian rakyat.
Pegawai kanan Houthi, Mohammed Nasser al-Atifi, menegaskan bahawa jenayah oleh musuh Amerika tidak akan melemahkan semangat rakyat Yemen untuk terus menyokong Palestin di Gaza. Malah, katanya, ia hanya akan menguatkan ketabahan dan daya tahan rakyat mereka.
Beberapa jam selepas serangan tersebut, tentera Israel melaporkan telah memintas peluru berpandu yang dilancarkan dari Yemen, dipercayai sebagai serangan balas oleh Houthi. – Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

