Dakwa 'Malay' tiada duit: O’Reilly ketinggalan zaman - Pemuda Amanah

SHAH ALAM - Dakwaan pengulas politik Amerika Syarikat (AS), Bill O’Reilly bahawa Asia Tenggara 'tiada wang' tidak tepat dan kedengaran sudah ketinggalan zaman.
Naib Ketua Pemuda Amanah, Faris Arriffin menyifatkan kenyataan tersebut seperti pandangan dunia yang telah ditinggalkan oleh sejarah, perdagangan dan data.
Faris menegaskan bahawa ASEAN telah mencatatkan perdagangan RM3.43 trilion (AS$722 bilion) dengan China pada tahun 2022, menjadikannya rakan dagang terbesar China, melebihi Kesatuan Eropah (EU).
“Kedua, pelaburan; ikuti wangnya. Pelaburan langsung asing (FDI) China ke ASEAN mendecah RM73.15 bilion (AS$15.4 bilion) pada 2022, hampir dua kali ganda berbanding 2019. Infrastruktur, teknologi digital, logistik dan tenaga, ini bukan derma, ini pengiraan.
“Mengapa? Kerana modal tidak pergi ke tempat yang miskin, ia pergi ke tempat yang ada janji. Ketiga, pembuatan; kami membuat mesin yang menyokong mesej. Vietnam sahaja mengimport lebih RM213.75 bilion (AS$45 bilion) elektronik dari China, bukan untuk dimakan, tetapi untuk diubah dan dieksport.
“Malaysia, Thailand dan Indonesia mencerminkan corak yang sama. Telefon yang O’Reilly guna? Kemungkinan besar litar elektriknya melalui Pulau Pinang, Hanoi, Vietnam atau Bangkok, Thailand, sebelum sampai ke studionya,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, O’Reilly mencipta kontroversi apabila memperlekehkan lawatan Presiden China, Xi Jinping ke tiga negara ASEAN.
Bekas hos Fox News itu turut mempersoalkan tindakan Jinping melawat Malaysia selaku Pengerusi ASEAN, Vietnam dan Kemboja, memandangkan ketiga-tiga negara terbabit dianggap tidak mempunyai kemampuan menyokong China daripada segi ekonomi.
Dalam pada itu, Faris berkata, dengan 680 juta penduduk yang kebanyakannya muda, berpendidikan dan sedang berderak ke bandar, Asia Tenggara kini mempunyai pangkalan pengguna yang lebih besar daripada EU.
“Itu adalah pangkalan pengguna yang lebih besar daripada EU, dengan selera digital dan kelas menengah yang sedang berkembang. Ini bukan populasi yang menganggur, mereka adalah pekerja, inovator dan pengguna yang sedang direbutkan oleh jenama dunia.
“Persepsi kuasa realiti telah berubah, dalam tinjauan 2024, 67 peratus rakyat Malaysia, 53 peratus rakyat Vietnam dan 60 peratus rakyat Kemboja menyebut China (bukan AS) sebagai negara yang paling berpengaruh secara ekonomi. Itu bukan propaganda, ia pengalaman sebenar.
“Jadi O’Reilly, jika Asia Tenggara tiada ‘wang’, mengapa setiap kuasa besar seperti China, AS, Jepun dan EU berebut laluan perdangan serta pasaran digital kami? Mengapa kami terlibat dalam setiap lapisan rantaian bekalan global, daripada cip hingga ayam, daripada minyak sawit hingga bateri kenderaan elektrik (EV)?,” ujarnya.
Faris berkata, Asia Tenggara bukan negara yang ‘menjerit’ seperti negara pengeluar minyak atau mencabar seperti populis, sebaliknya rantau ini bergerak tenang seperti arus yang dalam dan kuat.
Faris menambah, walaupun Asia Tenggara mungkin tidak kelihatan menonjol, peranan penting kawasan ini dalam ekonomi global tidak boleh dipandang ringan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!