[VIDEO] Pengurus tapak didakwa libas lelaki dengan parang di pusat beli-belah
SEREMBAN - Individu yang videonya tular melibas seorang lelaki dengan parang di sebuah pusat beli-belah di Seremban Gateway Isnin lalu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat.
Tertuduh, R Suresh Khanna, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datin Surita Budin selepas kertas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja menyebabkan cedera parah kepada seorang lelaki berusia 40 tahun dengan menggunakan sebilah parang.
Kesalahan itu dilakukan pada 14 April 2025, kira-kira jam 8.10 malam di tingkat satu sebuah kedai telekomunikasi di Seremban Gateway Off Jalan Sungai Ujong, Seremban.
Berikutan itu tertuduh telah melakukan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.
Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius dan keluarga mangsa juga berada dalam ketakutan selepas kes berlaku.

Peguam, Thayalan Moorthy memohon jaminan rendah dikenakan terhadap tertuduh yang mempunyai tiga anak dan bekerja sebagai pengurus tapak dengan pendapatan RM3,000 sebulan.
Katanya, tertuduh juga mempunyai beberapa penyakit termasuk hipertensi dan sekiranya tidak diberikan jaminan, kemungkinan kesihatannya akan merosot.
"Saya mohon jaminan rendah dan difahamkan keluarga setakat ini dapat kumpulkan RM8,000 saja," katanya.
Mahkamah menetapkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tidak menganggu saksi pendakwaan serta mangsa sehingga kes selesai dan melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan termasuk menyerahkan pasport sekiranya ada.
Sebelum ini media melaporkan, seorang lelaki cedera selepas diserang sekumpulan lelaki dan ditetak menggunakan parang dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di sini.
Video kejadian terbabit yang memaparkan mangsa dikejar dan dilibas seorang individu bersenjatakan parang turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din dilaporkan berkata, pihaknya percaya kejadian itu membabitkan unsur gengsterisme akibat dendam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!