Lelaki ditetak parang dalam pusat beli-belah

Mangsa ditetak dengan parang dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah pada malam Isnin.
Mangsa ditetak dengan parang dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah pada malam Isnin.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang lelaki cedera selepas ditetak menggunakan parang dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah pada malam Isnin.

Kejadian tersebut tular di media sosial menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan mangsa dikejar seorang individu bersenjata parang dan terkena libasan sebanyak beberapa kali.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, ketika kejadian, mangsa berusia 40 tahun itu sedang berehat seorang diri sambil merokok di kawasan berkenaan sebelum dikejutkan dengan kedatangan sekumpulan lelaki dari eskalator aras bawah dengan salah seorang memegang senjata itu.

"Mangsa yang tidak sempat mengelak telah dilibas berkali-kali oleh suspek.

"Setelah berjaya bangun, mangsa terus melarikan diri dan telah diselamatkan oleh rakan yang melihat kejadian, seterusnya dikejarkan ke hospital untuk bantuan kecemasan," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Katanya, mangsa mengalami luka pada kedua belah lengan, belakang serta kaki kanan dan dilaporkan stabil.

Beliau tidak menolak kejadian itu mempunyai elemen gangsterisme dan motif kejadian adalah dendam.

"Suspek telah dikenal pasti. Usaha untuk mengesan dan menangkap suspek sedang dijalankan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mencederakan manusia menggunakan senjata yang membawa kepada hukuman penjara sehingga sepuluh tahun atau dengan denda atau sebat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes di talian 019-3666048 atau terus ke balai polis berhampiran.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!