Doktor cabul pesakit hamil di klinik, polis bongkar kes kedua

GARUT - Seorang doktor dikenali sebagai Muhammad Syafril Firdaus (MSF) berjaya ditahan polis dan dia didakwa sebagai suspek utama selepas disyaki mencabul seorang pesakit wanita di sebuah bilik sewa di Garut, Jawa Barat.
Menurut Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Polis Jawa Barat, Hendra Rochmawan, suspek disiasat di bawah Seksyen 6(a) dan 6(b), serta Seksyen 15 Akta Jenayah Seksual (TPKS), selain Seksyen 308 di bawah Akta Kesihatan Indonesia.
"Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara sehingga 12 tahun dan atau denda sebanyak 300 juta rupiah (RM90,000)," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Garut pada Khamis.
Modus operandi MSF kali ini adalah dengan menawarkan suntikan vaksin gonore atau penyakit jangkitan kelamin kepada mangsa yang berusia 24 tahun.
Selepas selesai pemeriksaan, suspek meminta mangsa menghantarnya pulang kerana dia datang menggunakan perkhidmatan e-hailing.
Mangsa kemudian menyatakan hasrat untuk membayar kos suntikan sebanyak 6 juta rupiah (RM1,569), namun suspek menolak dan meminta bayaran dibuat di dalam bilik sewanya.
"Di dalam bilik, suspek mula meraba mangsa sebelum mencium lehernya. Mangsa menolak dan mengugut akan membuat laporan polis malam itu juga," kata Hendra.
Namun, suspek terus bertindak biadab sehingga mangsa menendangnya dan melarikan diri dari bilik tersebut.
Hendra menambah, antara barang bukti yang dirampas termasuk pakaian mangsa, kad memori dan kandungan di dalamnya.
Dalam pada itu, pihak polis menjelaskan kes ini berbeza dengan satu insiden tular di media sosial sebelum ini, yang memaparkan MSF didakwa mencabul pesakit yang hamil ketika membuat pemeriksaan ultrabunyi (USG) di sebuah klinik di Garut.
Setakat ini, tiada laporan rasmi dibuat berkaitan insiden berkenaan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!