Rempuh tiga kereta elak sekatan jalan raya

Mustafa menunjukkan kesan tembakan pada tayar kanan kereta Proton Wira yang dinaiki suspek ketika mengelak sekatan jalan raya dan merempuh tiga kenderaan di kilometer 57 Jalan Johor Bahru/Batu Pahat pada 22 Februari lalu.

A
A
A

PONTIAN - Polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar kanan kereta dipandu seorang lelaki warga tempatan yang merempuh tiga kereta bagi mengelak sekatan jalan raya dalam kejadian di Kilometer 57 Jalan Johor Bahru/Batu Pahat dekat Taman Nilam kira-kira jam 5 petang pada 22 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh berkata, dua anggota trafik cuba menahan kereta Proton Wira terbabit yang dipandu seorang lelaki berusia 24 tahun.

"Dua anggota trafik yang menaiki motosikal telah mengejar suspek. Kereta terbabit dipandu secara melulu sehingga ke Kilometer 58.4 Jalan Johor Bahru/Batu Pahat sehingga merempuh tiga buah kereta.

"Suspek bertindak agresif merempuh motosikal dinaiki dua anggota polis trafik secara berhadapan menyebabkan anggota terjatuh dan cedera.

"Salah seorang anggota polis trafik kemudiannya melepaskan satu tembakan ke arah tayar belakang kereta sebelah kanan menyebabkan kereta tersebut berhenti. Suspek kemudiannya berjaya ditahan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah ( IPD) Pontian di sini hari ini.

Kereta Proton Wira berwarna merah yang dinaiki suspek ketika mengelak sekatan jalan raya dan merempuh tiga kenderaan di kilometer 57 Jalan Johor Bahru/Batu Pahat pada 22 Februari lalu.
Kereta Proton Wira berwarna merah yang dinaiki suspek ketika mengelak sekatan jalan raya dan merempuh tiga kenderaan di kilometer 57 Jalan Johor Bahru/Batu Pahat pada 22 Februari lalu.

Mustafa berkata, hasil pemeriksaan, polis menjumpai lima peket dadah jenis syabu dan suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau berkait kes pecah rumah, samun dan dadah.

"Suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Pontian dan mengaku bersalah bagi pertuduhan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan. Dia dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan dari tarikh sabitan 25 Februari dan denda RM10,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Bagi pertuduhan kedua mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan ( APJ) 1987 pula, tertuduh mengaku salah dan dijatuhkan hukuman penjara dari tarikh sabitan 2 Mac dan denda RM5,000 atau empat bulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan," katanya.