Anwar, Paetongtarn komited tangani isu tarif AS secara kolektif di peringkat ASEAN

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan mesyuarat dua hala bersama Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra sempena lawatan kerja di Rumah Kerajaan Thailand, pada Khamis. Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan Dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (dua, kiri) dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (tiga dari kiri). Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan mesyuarat dua hala bersama Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra sempena lawatan kerja di Rumah Kerajaan Thailand, pada Khamis. Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan Dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (dua, kiri) dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (tiga dari kiri). Foto Bernama
A
A
A

BANGKOK - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya dari Thailand, Paetongtarn Shinawatra mengesahkan komitmen masing-masing untuk menangani isu tarif Amerika Syarikat (AS) secara kolektif di peringkat ASEAN.

Anwar, yang kini dalam rangka lawatan kerja selama dua hari ke Thailand, berkata, delegasi dari Malaysia dan Thailand membincangkan perkara itu semasa mesyuarat dua hala mereka.

"Kami juga membincangkan isu tarif AS dan komited untuk menanganinya secara kolektif di peringkat ASEAN melalui rangka kerja rundingan yang adil dan mampan," kata Perdana Menteri semasa mesyuarat dua hala dengan Paetongtarn di Government House, di sini, pada Khamis.

Anwar melahirkan penghargaan terhadap Perdana Menteri Thailand itu atas komitmen beliau untuk mengukuhkan hubungan dua hala.

"Saya menghargai kesediaan kerajaan Thailand untuk terus memajukan perjanjian sedia ada, khususnya yang bertujuan untuk meningkatkan ekonomi bahagian utara Malaysia dan bahagian selatan Thailand.

"Dengan Thailand kini merupakan rakan dagangan keenam terbesar Malaysia dengan jumlah perdagangan melebihi AS$25 bilion pada tahun lepas, inisiatif ini akan membantu kita mencapai sasaran AS$30 bilion menjelang 2027,” kata beliau.

Terdahulu, Anwar dan Paetongtarn menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) berhubung perjanjian pembinaan (CA) bagi Projek Jambatan Rantau Panjang-Sungai Golok.

Sementara itu pada sidang media kemudiannya, Paetongtarn berkata, tiga topik utama dibincangkan dengan Anwar iaitu projek Jambatan Sungai Golok, keamanan di wilayah selatan Thailand dan tarif AS.

Mengenai Jambatan Sungai Golok, beliau berkata, pembinaan sedang berjalan dan dijangka siap mengikut jadual.

Artikel Berkaitan:

"Bagi keamanan di selatan Thailand, kami meminta kerjasama Malaysia, dengan tumpuan utama kepada pembangunan ekonomi. Ini termasuk inisiatif seperti pengeluaran makanan halal dan projek Rubber City.

"Kami bersetuju untuk mengubah 'medan perang' menjadi 'medan perdagangan' untuk menggalakkan kerjasama dan faedah ekonomi bersama," katanya.

Paetongtarn berkata, kedua-dua pemimpin itu juga membincangkan bagaimana negara anggota ASEAN boleh bertindak balas secara kolektif terhadap tarif AS.

"ASEAN mempunyai populasi besar dan potensi yang besar jika kita bertindak secara bersama. Kami juga meneroka strategi berbeza yang diambil oleh setiap negara dan bersetuju bahawa setiap negara akan meneruskan dengan pendekatan masing-masing," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!