Tarian separuh bogel: MBPP keluar surat tunjuk sebab kepada penganjur

GEORGE TOWN - Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada penganjur acara yang menyaksikan beberapa wanita menari dalam keadaan separuh bogel di kawasan pelancongan di Batu Ferringhi dekat sini baru-baru ini.
Datuk Bandar MBPP, Datuk A Rajendran berkata, siasatan awal mendapati premis perniagaan itu mempunyai lesen hiburan.
"Kami telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada pemilik premis,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Semalam, media melaporkan tindakan beberapa wanita menari dalam keadaan separuh bogel di atas pentas sempena Pesta Songkran di Batu Ferringhi anjuran pihak swasta yang mencetuskan kemarahan warganet selepas video insiden itu tular di media sosial.
Pesta itu, yang diadakan 50 meter dari sebuah masjid, berlangsung dari 4 petang hingga lewat malam pada Sabtu dan Ahad lepas.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, penganjuran pesta itu adalah di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan iaitu MBPP dan penganjur mempunyai lesen hiburan namun ia tidak mengikut syarat yang ditetapkan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!