'Dua hari hilang, abah ditemui berendam dalam parit'

Taib Ahmad, 79, ditemukan kelaparan di kebun kelapa sawit selepas dua hari hilang.
Taib Ahmad, 79, ditemukan kelaparan di kebun kelapa sawit selepas dua hari hilang.
A
A
A

BATU PAHAT - Seorang warga emas, Taib Ahmad, 79, yang dilaporkan hilang sejak Khamis lalu ditemukan penduduk kampung di kebun sawit di Kampung Parit Kassim, Jalan Parit Jalil, di sini pada Sabtu.

Menurut anak sulungnya, Nazhaida Taib, 55, dia bersyukur kerana bapanya itu ditemukan selamat selepas hilang dalam tempoh 48 jam.

"Ketika ditemui penduduk kampung, abah dalam keadaan sedar, tidak memakai baju dan berendam dalam parit di dalam kebun kelapa sawit berkenaan.

"Orang kampung yang menemui abah turut memberikannya makanan dan minuman sementara menunggu kami sekeluarga tiba ke lokasi," katanya.

Menceritakan kembali, Nazhaida berkata, kehilangan bapanya itu tidak disedari ahli keluarga kerana menyangka warga emas berkenaan berehat di bilik.

“Abah hilang hari Khamis. Tengah hari itu mak suruh belikan makanan dan dia sempat hantar makanan itu ke rumah sebelum keluar semula tanpa pengetahuan kami.

Motosikal yang ditunggangi Taib ketika keluar dari rumah.
Motosikal yang ditunggangi Taib ketika keluar dari rumah.

“Kita ingat dia kat bilik kerana dia memang suka duduk bilik. Bila ada saudara datang beraya nak jumpa, kita tengok dia dah tak ada.

Artikel Berkaitan:

"Motor pun tak ada dan cucu-cucu yang perasan kata Tok B dia keluar semula tadi," katanya.

Katanya, selepas menyedari bapanya tiada di rumah lebih dua jam, mereka sekeluarga bimbang dan memulakan pencarian.

"Kami sekeluarga mencari abah termasuk di Tongkang Pechah, Jalan Parit Jalil sehingga Jalan Sri Bengkal selain turut membuat hebahan di media sosial serta meminta bantuan penduduk kampung dan kenalan abah, " katanya.

Katanya, bapanya itu menghidap kencing manis dan pelupa dan masih mengambil ubat-ubatan.

"Alhamdulillah ALLAH jaga abah, ALLAH lindungi abah dan panjangkan umur abah.

"Maklumlah jalan di kebun kelapa sawit memang jarang orang lalu, lagi-lagi masa hari raya.

“Mungkin juga sebab abah ni bekas tentera. Itu yang buat dia kuat semangat...apa pun alhamdulillah abah selamat,” katanya.

Sementara itu Nazhaida berkata, bapanya itu kini dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) susulan kehilangannya selama 48 jam tanpa makan dan minum.

"Keadaan kesihatan bapanya itu kini dilaporkan baik dan stabil," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!