Bintang legenda Filipina, Nora Aunor meninggal dunia

MANILA - Pelakon tersohor Filipina, Nora Aunor meninggal dunia pada semalam (16 April).
Mendiang menghembuskan nafas terakhir pada usia 71 tahun.
Berita pemergian Aunor disahkan melalui hantaran media sosial oleh anak-anaknya.
Bagaimanapun, punca dan lokasi kematiannya tidak didedahkan.
Anaknya, aktor Lotlot de León berkata, ibunya telah "menyentuh hati pelbagai generasi menerusi bakat, keanggunan dan semangatnya terhadap seni lakon."
Menurutnya, butiran lanjut mengenai pengebumian akan dikongsikan kemudian.
Aunor yang dilahirkan sebagai Nora Cabaltera Villamayor di wilayah Camarines Sur, berasal daripada keluarga miskin dan pernah menjual air di stesen kereta api semasa kecil.
Seniwati itu mula dikenali pada era 1960-an sebagai penyanyi sebelum mencipta nama dalam dunia perfileman.
Sepanjang kerjaya yang menjangkau tujuh dekad, Aunor membintangi lebih 200 filem dan rancangan TV termasuk karya ikonik seperti Tatlong Taong Walang Diyos (1976), Bulaklak sa City Jail (1984), dan The Flor Contemplacion Story (1995).
Beliau meraih pelbagai anugerah termasuk Pelakon Wanita Terbaik di Asian Film Awards menerusi filem Thy Womb (2012).
Lakonannya dalam Andrea, Paano ba ang Maging Isang Ina? (1990) turut menyapu bersih anugerah tempatan.
Aunor terus aktif sehingga tahun lalu menerusi filem Mananambal dan siri TV Lilet Matias, Attorney-at-Law. Pada 2022, beliau dianugerahkan gelaran Seniman Negara bagi Filem dan Seni Penyiaran - penghormatan tertinggi negara itu dalam bidang seni.
Beliau pernah berdepan kontroversi apabila bekas Presiden Benigno Aquino III menolak pencalonannya pada 2014 susulan penahanannya di Amerika Syarikat pada 2005, walaupun kes itu akhirnya digugurkan pada 2007 selepas menyertai program pemulihan.
Aunor yang berkahwin dengan pelakon Christopher de León dari 1975 hingga 1996 dan meninggalkan lima orang anak iaitu Lotlot, Ian, Matet, Kiko dan Kenneth de León. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!