Pindah rumah baharu pada usia 92 tahun

SUNGAI SIPUT - Penantian lebih lima dekad seorang wanita warga emas untuk mendiami rumah yang selamat dan selesa akhirnya tercapai pada usianya 92 tahun.
Sebelum ini, Liew Keow dari Kampung Baru Rimba Panjang terpaksa menjalani kehidupan di rumah uzur dengan keadaan dinding retak dan bumbung bocor kerana kesempitan hidup.
Rumah baharu tersebut merupakan inisiatif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di bawah Program Rumah Madani Rakyat Kampung Baru dengan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) sebagai agensi pelaksana.
Liew Keow yang tinggal bersama dua anak lelakinya, Chong Loo Ping, 62, dan Chong Kooi Shang, 63, berkata, kehidupan di rumah lama sering dihantui rasa takut dan bimbang akan keselamatan diri.
"Setiap kali hujan dan ribut, saya akan berdoa agar rumah itu tidak runtuh.
"Dengan keadaan bumbung bocor dan dinding kayu yang retak, saya bukan sahaja terdedah dengan angin sejuk, malah basah setiap kali hujan lebat," katanya ketika ditemui dalam program Sentuhan Kejayaan Bahagian Kampung Baru Cina (BKBC) di Kampung Baru Rimba Panjang di sini pada Sabtu.
Liew Keow akui, perasaan gembira dan terharu bercampur baur kerana diberi kesempatan memiliki kediaman baharu pada usia sudah lanjut.
Katanya, rumah baharu itu dianggap sebagai hadiah paling sempurna menjelang Tahun Baharu Cina yang disambut minggu depan.

"Ini adalah Tahun Baharu Cina terbaik sepanjang hidup saya. Rasa tidak sabar untuk menyambut tetamu ke rumah baharu saya ini," katanya.
Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, inisiatif bina baharu rumah itu diluluskan untuk kediaman penduduk yang tidak lagi selamat dan ekonomik untuk dibaik pulih.
Menurutnya, sepanjang tahun lalu, sebanyak 21 rumah baharu berjaya didirikan di kampung baharu seluruh negara yang dibiayai melalui peruntukan projek pembangunan KPKT.
"Kita juga telah melaksanakan baik pulih 282 rumah penduduk kampung baru yang berpendapatan rendah di bawah Program Bantuan Baikpulih Rumah Kampung Baru," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!