Dibayar imbuhan hingga RM3,000 jadi 'ibu tumpang'

JPN bongkar terdapat individu yang sanggup menjadi 'ibu tumpang' dengan mendaftarkan nama sebagai ibu kandung kepada bayi yang baru dilahirkan. (Foto hiasan) Gambar kecil: Badrul Hisham
JPN bongkar terdapat individu yang sanggup menjadi 'ibu tumpang' dengan mendaftarkan nama sebagai ibu kandung kepada bayi yang baru dilahirkan. (Foto hiasan) Gambar kecil: Badrul Hisham
A
A
A

SHAH ALAM - Dibayar imbuhan antara RM200 sehingga RM3,000 bagi setiap permohonan sijil kelahiran.

Itu taktik sindiket yang dibongkar Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) apabila terdapat individu yang sanggup menjadi ‘ibu tumpang’ dengan mendaftarkan nama sebagai ibu kandung kepada bayi yang baru dilahirkan.

Selain itu, ada antara wanita terbabit dipercayai turut menerima bayaran tetap daripada sindiket pemalsuan sijil kelahiran bayi dan melakukan perbuatan itu secara berulang.

Pembongkaran kegiatan itu dikesan hasil tangkapan 10 individu termasuk enam wanita menerusi Op Tumpang 2.0 yang dilaksanakan JPN dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di seluruh negara pada Selasa.

Ketua Pengarah JPN, Badrul Hisham Alias berkata, wanita terbabit bertindak sebagai pemaklum kelahiran dengan mengemukakan dokumen pengesahan kelahiran palsu tercatat maklumat dirinya sebagai ibu yang melahirkan bayi terbabit.

Menurutnya, nama wanita itu dimasukkan dalam sijil kelahiran bayi melalui pendaftaran kelahiran yang didaftarkan di bawah permohonan ‘single mother’ (ibu tunggal) dan tiada hubungan biologi.

“Siasatan mendapati sijil kelahiran yang dikeluarkan kepada pemaklum kemudian diserah kepada ejen bagi tujuan dipasarkan ke pasaran gelap.

"Tindakan itu dilakukan atas dorongan imbuhan atau ganjaran daripada ejen atau pihak ketiga termasuk sindiket,” katanya pada Khamis.

Tambah Badrul Hisham, lelaki yang ditahan turut mendakwa menggunakan nama sebagai bapa kandung untuk mendaftar kelahiran bayi yang diperoleh daripada pihak ketiga seperti bayi luar nikah, anak tidak berdokumen atau warga asing.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, itu bertujuan mendapatkan sijil kelahiran bertaraf warganegara kepada bayi terbabit.

"Seterusnya bagi mendapatkan MyKad supaya dapat mengakses kemudahan warganegara seperti pendidikan, kesihatan dan sebagainya," katanya.

Jelas beliau, tindakan sedemikian dilakukan sebagai jalan singkat dan tidak melalui proses sah seperti permohonan pengangkatan dan permohonan kewarganegaraan.

Tegasnya, JPN mendapati wujud jaringan ejen yang mencari individu untuk menumpangkan nama sebagai ibu atau bapa kepada bayi dan menguruskan segala dokumen sokongan palsu atau memanipulasi dokumen seperti surat perubatan serta pengesahan kelahiran palsu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 36(1)(b) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299).

Laporan eksklusif Sinar Harian pada Rabu melaporkan dakwaan seorang lelaki yang sanggup membayar kira-kira RM30,000 untuk mendapatkan bayi serta surat beranak.

Berikutan itu, sembilan individu telah didakwa di Mahkamah Majistret Putrajaya, manakala seorang lagi dibebas dengan ikat jamin atas faktor kesihatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!