Bendera lambang kedaulatan negara, tidak boleh dipersenda - Agong

SHAH ALAM - Pengurusan dan jabatan pengarang akhbar perlu lebih peka dan menyemak sesuatu bahan siaran terlebih dahulu sebelum dicetak untuk siaran.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah, bendera adalah lambang kedaulatan serta identiti sesebuah negara.
"Bendera bukan sekadar kain bercorak yang berwarna-warni tetapi mewakili perjuangan, sejarah, erti kemerdekaan serta semangat rakyat jelata.
“Kita sebagai rakyat mengibarkan bendera dengan rasa megah dan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa," titah Seri Paduka Baginda menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Sebelum ini, akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily tampil memohon maaf atas kesilapan memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang tidak lengkap tanpa bulan sabit pada muka hadapan akhbar berkenaan.
Dalam satu kenyataan pada Rabu, Sin Chew Daily memaklumkan bulan sabit tidak kelihatan dalam ilustrasi bendera Malaysia terbabit disebabkan kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.
Seri Paduka Baginda turut bertitah, kesilapan memaparkan gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit seperti disiarkan akhbar tersebut boleh mencetuskan sensitiviti rakyat dan tidak boleh diterima.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
