Bantuan mahasiswa anak Perak bertambah penuhi keperluan

IPOH - Kerajaan Perak menambah peruntukan bagi inisiatif kepada mahasiswa negeri ini untuk tahun 2025 susulan permintaan tinggi yang direkodkan tahun lalu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, peruntukan bagi Bantuan Sara Diri dan Bantuan Kecemasan Mahasiswa Negeri Perak dinaikkan kepada RM4 juta berbanding RM2 juta pada tahun sebelumnya.
Menurutnya, bantuan tersebut dijangka memanfaatkan hampir 7,000 mahasiswa anak Perak yang melanjutkan pengajian secara sepenuh masa di peringkat diploma, ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah.
“Pertambahan ini dibuat bagi memastikan lebih ramai mahasiswa anak Perak dapat dibantu, khususnya mereka yang mengikuti pengajian sepenuh masa.
"Kadar bantuan sara diri pula ditetapkan sebanyak RM500 bagi pelajar Diploma, RM700 (Ijazah Sarjana Muda), RM800 (Sarjana) dan RM1,000 (PhD), tertakluk kepada syarat kelayakan termasuk pendapatan isi rumah dan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) minimum," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Bantuan Sara Diri dan Kecemasan Mahasiswa Negeri Perak, Bantuan Baucar Buku dan Jelajah Aim TVET With Cikgu Saarani di Bilik Sidang Media Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.
Hadir sama Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah.
Sementara itu, Saarani berkata, bantuan kecemasan disediakan untuk pelajar yang berdepan kesulitan mendesak seperti kemalangan, masalah kesihatan serius, kehilangan harta benda atau musibah tidak dijangka.
Katanya, bantuan tersebut diberikan kepada pemohon yang layak dengan kadar maksimum sehingga RM5,000 bergantung keperluan kes.
Jelasnya, penyaluran bantuan itu tertakluk kepada pertimbangan Jawatankuasa Kelulusan yang diketuai oleh Khairudin bersama Yayasan Perak, Pejabat Kewangan Negeri dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).
Selain, kerajaan negeri turut menyalurkan Bantuan Baucar Buku Mahasiswa dengan peruntukan sebanyak RM750,000, melibatkan seramai 5,000 penerima yang akan menerima RM150 seorang.
Saarani berkata, permohonan bagi semua bantuan dibuka mulai 16 April 2025 melalui laman web rasmi www.eheyns.com.my.
Dalam usaha memperkukuh pembangunan belia, program Jelajah AIM TVET Bersama Cikgu Saarani 2025 juga bakal berlangsung pada Sabtu ini, 19 April, di Kompleks Belia Tapah.
"Program ini selaras dengan hasrat menjadikan Perak sebagai Koridor TVET Malaysia menjelang 2030 dan bertujuan memperluas pengiktirafan terhadap pendidikan dan kemahiran TVET, memperkenalkan inovasi, serta memberi pendedahan berkaitan kerjaya kepada anak muda.
"Antara pengisian program ini termasuk Slot Dari Dapur Cikgu Saarani, Sembang TVET, demonstrasi kemahiran, pameran projek-projek berimpak tinggi yang sedang dilaksanakan di negeri ini serta kursus jangka pendek," katanya.
Saarani berkata, keseluruhan inisiatif berkenaan mencerminkan usaha berterusan kerajaan negeri dalam membangunkan generasi muda secara holistik, selari dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

