Kerajaan Perak digesa cari kaedah terbaik bantu anak muda miliki rumah

Syed Lukman Hakim
Syed Lukman Hakim
A
A
A

IPOH – Kerajaan Perak digesa mencari pendekatan lebih efektif bagi membantu golongan muda di negeri ini memiliki rumah sendiri.

Gesaan itu dikemuka Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zin (PN-Chenderoh) ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Atas Penzahiran Titah Diraja Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Khamis.

Menurutnya, inisiatif sedia ada seperti Program Rumah Perakku dan Skim Sewa Perak Sejahtera belum cukup untuk menyelesaikan isu pemilikan rumah dalam kalangan belia di negeri ini.

“Inisiatif-inisiatif yang ditawarkan meletakkan terma dan syarat yang agak sukar untuk dipenuhi oleh ramai anak muda di sini di samping persaingan bersama golongan rentan lain.

"Kerajaan negeri perlu mempertimbangkan beberapa cadangan baharu termasuk mewujudkan kuota perumahan khusus untuk golongan muda,” katanya.

Syed Lukman Hakim turut mencadangkan skim perumahan berkonsepkan rent-to-own dan penyediaan pinjaman bank dengan jaminan kerajaan untuk membeli rumah.

Dalam pada itu, beliau menyarankan kerajaan negeri menyediakan sebanyak mungkin program rangsangan ekonomi untuk rakyat.

Jelasnya, ini boleh dilaksanakan susulan laporan prestasi kewangan negeri yang mencatatkan kedudukan surplus bagi tiga tahun berturut-turut.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sasaran 20,000 penerima Kad Perak Sejahtera perlu dicapai kerana ia terbukti berkesan dalam membantu rakyat memerlukan di samping merangsang rantaian ekonomi tempatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!