Ribut: Sesi persekolahan diteruskan seperti biasa

Khairudin (tengah) ketika melakukan tinjauan keadaan sekolah yang terjejas akibat ribut.
Khairudin (tengah) ketika melakukan tinjauan keadaan sekolah yang terjejas akibat ribut.
A
A
A

TAPAH - Sesi pembelajaran di sekolah-sekolah yang terjejas akibat kejadian ribut melanda daerah Perak Tengah, Ahad lalu diteruskan seperti biasa, kata Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah.

Beliau berkata, pengurusan sekolah terlibat telah mengambil langkah penyuaraian dengan menempatkan pelajar di bangunan lain sementara kelas yang mengalami kerosakan diletakkan sebagai kawasan larangan untuk pelajar.

Menurutnya, dalam lawatan bersama Pengarah Pendidikan negeri, Safuan Raba'ai Isnin lalu, terdapat tiga sekolah mengalami kerosakan serius iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Jalil, Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Perak dan SK Dato Sagor.

Kebanyakan kerosakan membabitkan bumbung diterbangkan angin dan cermin tingkap pecah.
Kebanyakan kerosakan membabitkan bumbung diterbangkan angin dan cermin tingkap pecah.

"Kebanyakan kerosakan membabitkan bumbung diterbangkan angin dan kerosakan tingkap akibat cermin yang pecah.

"Bagi sekolah yang paling teruk terjejas iaitu SMK Sultan Abdul Jalil, pelajar gunakan bilik Tingkatan Enam untuk dijadikan bilik sementara bagi kelas Tingkatan Satu, Dua dan Tiga.

"Pihak sekolah juga memberi kaunseling dan bimbingan kepada pelajar supaya mereka tidak merasa tertinggal dan hilang semangat untuk belajar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam majlis Jamuan Aidilfitri Komuniti Madani Tapah Road di Dewan Serbaguna Taman Indah di sini pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Pengurusan sekolah diminta menyediakan laporan penuh kerosakan berdasarkan pekeliling untuk dipanjangkan kepada JPN dan KPM.
Pengurusan sekolah diminta menyediakan laporan penuh kerosakan berdasarkan pekeliling untuk dipanjangkan kepada JPN dan KPM.

Dalam kejadian Ahad lalu, sebanyak 50 rumah rosak akibat ribut berserta hujan lebat di daerah Perak Tengah.

Kejadian antara jam 4.30 hingga 6.30 petang itu membabitkan enam penempatan penduduk iaitu Kampung Seberang Perak, Kampung Pasir Jenderis, Kampung Kepala Pulau, Kampung Pulau Besar, Kampung Gajah dan Kampung Pasir Salak.

Khairudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belanja berkata, kerajaan negeri bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) telah merangka pelan kontingensi bagi memastikan kerja-kerja pembaikan dan kos dapat disegerakan.

Katanya, langkah awal, pihaknya telah meminta bahagian teknikal dari Unit Pembangunan JPN dan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membuat penilaian kerosakan yang berlaku.

"Pihak sekolah juga perlu menyediakan laporan penuh berdasarkan pekeliling untuk dipanjangkan kepada JPN dan Kementerian Pendidikan (KPM).

"Laporan tersebut melibatkan perincian kejadian pada hari pertama, hari ketiga dan ketujuh selepas kejadian ribut itu berlaku.

"Harapan kita agar proses baik pulih ini dapat dilaksanakan dengan segera bagi memberikan keselesaan dan kemudahan kepada pelajar," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!