Perbicaraan bekas penceramah bebas menyamar peguam lapan hari

SEREMBAN - Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu menetapkan lapan hari bagi tarikh perbicaraan seorang bekas penceramah bebas yang dituduh menyamar sebagai peguam berkelayakan dengan menipu mangsa, tiga tahun lalu.
Hakim Norina Zainol Abidin menetapkan tarikh 14, 15, 16, 17 Julai, dan seterusnya 27, 28, 29, 30 Oktober depan bagi perbicaraan tertuduh, Muhammad Syafiq Stewart Abdullah, 45.
Hakim Norina Zainol Abidin memberitahu bahawa mahkamah telah melapangkan lapan hari bagi tarikh perbicaraan selepas mendapat persetujuan bersama daripada pihak pendakwaan, pembelaan, dan peguam pemerhati.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Shafatihah Nor Azmi memaklumkan bahawa pihak pendakwaan dijangka memanggil seramai 15 hingga 20 saksi termasuk saksi awam, pegawai penyiasat, dan pegawai mahkamah.
Peguam Ahmad Zahid Abu Hashim bersetuju dengan tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan oleh mahkamah.
Mahkamah turut dimaklumkan bahawa peguam R Manian akan bertindak sebagai peguam pemerhati bagi pihak Majlis Peguam Malaysia dalam kes tersebut.
Pada 28 Oktober tahun lalu, Muhammad Syafiq Stewart mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan menyamar sebagai peguam berkelayakan dengan menipu mangsa di Kompleks Mahkamah Seremban sejak 2021.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah menyatakan bahawa dirinya adalah seorang peguam bela dan peguam cara yang berkelayakan dengan menipu dua mangsa.
Kesalahan itu dilakukan pada 18 November 2021 dan 2 Mac 2022 di Kompleks Mahkamah Seremban.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 416 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 419 kanun yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya sekali.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

