[VIDEO] Pemilik anjing Rottweiler didenda RM8,500

A
A
A

BALING - Pemilik anjing Rottweiler dikenakan hukuman denda RM8,500 oleh Mahkamah Majistret Baling selepas mengaku salah atas lima pertuduhan cuai sehingga membiarkan haiwannya menyerang mangsa di Taman Desa Bidara Kuala Ketil pada hari raya kedua lalu.

Hakim Najwa Che Mat menjatuhkan hukuman itu iaitu sebanyak RM1,700 atau dua bulan penjara jika gagal bayar bagi setiap pertuduhan terhadap tertuduh, Chong Shen Chong, 69, yang juga merupakan seorang ahli perniagaan.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh dengan cuai membiarkan anjing peliharaan menyerang mangsa, Khadijah Abdullah, 66, sehingga menyebabkan kecederaan dalam kejadian lebih kurang 4.45 pagi dalam kawasan perumahan Taman Desa Bidara, 1 April lalu.

Shen Chong bersama Peguam Alvin Kua Tze Min di Mahkamah Majistret Baling pada Rabu.
Shen Chong bersama Peguam Alvin Kua Tze Min di Mahkamah Majistret Baling pada Rabu.

Bagi pertuduhan seterusnya, tertuduh didakwa dengan cuai membiarkan anjing yang sama menyebabkan kecederaan ke atas penuntut warganegara Mesir, Ahmed Abdeltawwad Moustafa, 28, pada jam lebih kurang 6 pagi di satu kawasan lain di taman berkenaan, hari yang sama.

Pertuduhan seterusnya, tertuduh dengan cuai membiarkan anjing terbabit menyebabkan kecederaan ke atas Asyida Nizam Ahmad, 50, pada jam 6.40 pagi di lokasi berbeza di taman berkenaan.

Seterusnya, tertuduh didakwa cuai membiarkan anjing peliharaannya sehingga menyebabkan kecederaan ke atas Shaik Peer Mohamed Mohamed Mydin, 51, dan Goh Bing Hak, 74, pada jam 7 pagi di medan selera dalam taman berkenaan pada hari yang sama.

Disebabkan perbuatan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum bawah Seksyen 289 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga enam bulan, atau denda yang boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Artikel Berkaitan:

Peguam Alvin Kua Tze Min membincangkan sesuatu dengan Shen Chong di Mahkamah Majistret Baling pada Rabu.
Peguam Alvin Kua Tze Min membincangkan sesuatu dengan Shen Chong di Mahkamah Majistret Baling pada Rabu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amirul Halimi Md Salleh manakala tertuduh diwakili Peguam Alvin Kua Tze Min.

Dalam rayuan, pihak pembelaan memohon mahkamah agar mengecualikan hukuman penjara berikutan keadaan tertuduh yang uzur selain disahkan menghidap kemurungan dan komplikasi jantung serta memerlukan rawatan sepanjang masa.

Jelas Alvin, pengakuan salah telah menjimatkan masa mahkamah selain tertuduh berjanji tidak mengulangi kejadian sama berikutan dua ekor anjing Rottweiler peliharaannya yang terlibat dalam kes terbabit telah dilupuskan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kedah.

Hakim Najwa menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM1,700 bagi setiap pertuduhan dan tertuduh membayar denda berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!