Pesara rugi lebih RM760,000 ditipu 'phone scam'

BUKIT MERTAJAM - Seorang pesara mengalami kerugian sebanyak RM764,511 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, mangsa yang merupakan warga emas berusia 73 tahun itu dipercayai menjadi mangsa 'phone scam' sehingga mengalami kerugian ratusan ribu ringgit.
Menurutnya, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibupejabat Polis Daerah SPT telah menerima laporan daripada mangsa yang juga warga tempatan pada Isnin lalu.
"Mangsa mendakwa 59 transaksi telah dibuat ke enam akaun bank berbeza sejak Februari lalu sehingga April.
"Berdasarkan laporan dibuat, mangsa mendakwa dia menerima panggilan telefon daripada nombor tidak dikenali pada jam 9 pagi, 18 Februari lalu," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambah Helmi, mangsa mendakwa panggilan telefon itu daripada seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dari Balai Polis Pahang.
"Individu terbabit memberitahu mangsa bahawa dia terlibat dalam satu kes penggubahan wang haram dan pelbagai kes lain yang bersangkut dengan jenayah.
"Suspek juga memberitahu akan membuat tangkapan ke atas mangsa atas kesemua kesalahan tersebut," ujarnya.
Menurutnya, suspek kemudiannya meyakinkan mangsa bahawa dia boleh membantu untuk menyelesaikan dan memadamkan rekod kesalahan mangsa.
"Suspek telah meminta mangsa memberi maklumat perbankan kononnya bagi tujuan semakan ke atas status kes penggubahan wang haram tersebut.
"Mangsa telah memberitahu suspek butiran akaun bank milik mangsa. Setelah itu, dia telah menerima beberapa mesej pengesahan 'One Time Password' (OTP) dan suspek meminta mangsa untuk membuat pengesahan," tambahnya.
Helmi berkata, mangsa mula berasa curiga pada bulan ini kerana suspek masih lagi menghubunginya.
"Mangsa kemudiannya telah membuat semakan ke atas penyata bank miliknya dan mendapati terdapat sebanyak 59 transaksi pindahan wang ke enam akaun bank yang berbeza tanpa pengetahuan mangsa.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat dan denda," ujarnya.
Beliau turut menasihati orang awam agar sentiasa berwaspada supaya tidak menjadi mangsa penipuan atas talian.
"Orang awam perlu sentiasa peka apabila menerima panggilan dan berurusan dengan pihak atau individu yang tidak dikenali.
"Selain itu, jangan mudah mendedahkan maklumat akaun peribadi kepada pihak lain," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

