Tiga lelaki melecur rumah terbakar

Tiga lelaki melecur dalam satu kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah di Lorong Alor Akar 55, di sini malam Selasa. Foto JBPM Pahang
Tiga lelaki melecur dalam satu kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah di Lorong Alor Akar 55, di sini malam Selasa. Foto JBPM Pahang
A
A
A

KUANTAN – Tiga lelaki melecur dalam satu kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah di Lorong Alor Akar 55, di sini malam Selasa.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.24 malam sebelum tiga pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan, Indera Mahkota dan Taman Tas digerakkan ke lokasi kejadian.

“Kebakaran melibatkan sebuah rumah separuh kekal bersaiz kira-kira 8 x 28 meter persegi yang turut dijadikan tempat berkumpul dan membaiki motosikal.

“Tiga lelaki dewasa dilaporkan mengalami kecederaan dan melecur di beberapa bahagian badan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, kesemua mangsa dihantar ke hospital menggunakan ambulans St. John untuk menerima rawatan lanjut.

Mohd Salahuddin berkata, kejadian turut memusnahkan sebuah kereta Honda Stream dan Perodua Kancil.

“Sebanyak 10 motosikal yang berada di dalam premis turut terbakar 100 peratus,” katanya.

Beliau berkata, pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran hos salur bantu mula, hos sepanjang 200 kaki, breeching dan dua nozzle dengan sumber air dari tangki pam jentera serta pili bomba.

“Kerja-kerja overhaul sedang dijalankan di lokasi dan punca kejadian serta anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!